Seorang kanak-kanak lelaki memakai pakaian yang diperbuat dengan bendera Jalur Gemilang pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Meriah dan berwarna-warni.

Itu suasana yang dapat digambarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang disambut dengan semangat patriotik.

Suasana di Dataran Putrajaya yang dibanjiri orang ramai rakyat pelbagai kaum di setiap sudut menampakkan semangat cintakan negara yang membara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bermula seawal pukul 6 pagi tadi, para pengunjung mula memenuhi Dataran Putrajaya dengan menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang serta mengibarkan Jalur Gemilang dengan bersemangat walaupun acara utama belum bermula.

Pasukan beruniform melakukan persembahan pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

Sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih itu merupakan acara kali kedua berturut-turut diadakan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut berangkat menghadiri sambutan.

Gelagat seorang kanak-kanak mengibarkan bendera Jalur Gemilang ketika hadir pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2019

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir pada sambutan itu memandu sendiri sebuah kereta Proton Saga berwarna merah hati.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sejurus keberangkatan baginda,  Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Shaiful Amir Omar.

Aksi pasukan keselamatan pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

Sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku disusuli acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan meriam yang melambangkan 14 negeri oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Asri Che Wil.

Program diikuti bacaan ikrar Rukun Negara dan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zuhairie Abu Bakar serta 62 pembaca ikrar.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ membabitkan 1,627 peserta, terdiri kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Belon maskot animasi Ejen Ali, Didi dan Yaya antara watak animasi yang turut sama melakukan persembahan pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 OGOS 2019

Acara perbarisan dan perarakan di Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer itu bermula pada jam 8.40 pagi, didahului perarakan masuk Kontinjen Kenegaraan iaitu pembawa Jalur Gemilang, bendera negeri dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, melintasi pentas utama.

Perarakan membabitkan 17,353 peserta itu dimulakan oleh kontinjen perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Seperti tahun sebelumnya, sambutan turut memukau penonton melalui segmen pertunjukan lebih 284 aset milik pasukan keselamatan dan ketenteraman awam negara, termasuk polis, tentera, bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pertunjukkan aset tentera yang dipersembahkan kepada orang ramai pada acara perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 OGOS 2019

Paling mengujakan, pertunjukan terbang lintas pesawat udara dan helikopter yang menggegarkan ruang udara Putrajaya membabitkan 22 helikopter, sembilan pesawat angkut dan 24 pesawat pejuang.

Acara selama dua jam itu diakhiri dengan persembahan lagu ‘Kita Punya Malaysia’ oleh penyanyi, Sam Bunkface, sebelum Yang di-Pertuan Agong dan tetamu kehormat berangkat meninggalkan majlis. – MalaysiaGazette