KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia disaran supaya bersatu hati untuk mempertahankan kedaulatan daripada serangan ‘makhluk perosak’ yang sedang rakus mencabar dan merobek Perlembagaan Negara.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, mereka yang melakukan demikian seolah-olah lupa atau cuba menafikan sejarah kemerdekaan.
Menurutnya, kemerdekaan dikecapi kini adalah anugerah sangat besar kepada seluruh warga Malaysia.
“Nikmat yang diperoleh melalui sejarah panjang perjuangan yang mengorbankan darah dan nyawa ribuan pejuang dan perajurit negara.
“Pengorbanan hebat pejuang-pejuang ini telah membebaskan negara dengan Perlembagaan Persekutuan menjadi paksi negara.
“Hari ini, paksi negara yg dibina dan diterima baik sejak kemerdekaan telah cuba dirobek oleh pengkhianat-pengkhianat negara berwajah baru,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mereka yang bertanggungjawab sedang berusaha untuk menggugat kedudukan Islam, kedudukan institusi Istana, Bahasa Melayu dan keistimewaan Melayu serta Pribumi Sabah dan Sarawak secara terbuka.
Ujarnya, keadaan itu telah menimbulkan kegusaran kepada sebahagian besar warga negara yang telah hidup aman harmoni sekian lama dengan menghormati dan mematuhi paksi negara ini. – MalaysiaGazette