Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris beramah mesra dengan sebahagin atlet yang merupakan pelajar baru yang mendaftar pada Sesi Pengambilan Pelajar Baharu bagi akademik 2019/2020 di Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Cabaran menanti atlet gimnastik artistik kebangsaan dan atlet taekwondo yang akan mewakili negara ke Sukan SEA Filipina November ini apabila mereka memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Sistem pendaftaran dipantau oleh Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Aini Ideris sebelum menjelaskan kepada media pelbagai kemudahan sukan dan akademik disediakan untuk keselesaan 8 daripda 90 atlet negara yang bakal berdepan sukan antarabangsa tahun ini.

Katanya, mereka boleh menjalani latihan rasmi di Majlis Sukan Negara (MSN), tetapi pada masa yang sama kampus UPM turut menyediakan kemudahan sukan dan latihan.

“Daripada 90 atlet negara kali ini, lapan antaranya adalah atlet gimnastik, bola jaring, angkat berat, taekwondo, memanah dan olahraga.

“Kami menyediakan kolej penginapan khusus untuk pelajar atlet dilengkapi kemudahan sukan yang diperlukan dan cara pembelajaran fleksibel mengatur program pengajian mengikut kesesuaian dan waktu pembelajaran mereka.

“Kalau mereka berada di luar negara mereka boleh mengikuti kursus dan kredit jam tidak dihadkan dan jika nak tangguh program disebabkan latihan padat juga dibenarkan oleh UPM,” tegas beliau.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris.

Seramai 90 atlet mendaftar di UPM hari ini daripada  keseluruhan 3,882 pelajar baharu yang melaporkan diri untuk 83 program di 16 fakulti bagi sesi akademik 2019/2020 melibatkan pecahan 1,190 lelaki dan 2,692 wanita.

Sementara itu, seorang atlet, Muhammad Abdul Azim Othman, 22, ketika ditemui berkata, dia disenarai pendek mewakili negara kali ini dan memikul tugas berat untuk membahagikan masa secara terurus kerana sudah bergelar penuntut UPM.

“Saya pilih UPM atas nasihat kawan di mana menurut mereka UPM menjamin kemudahan belajar yang selesa dengan pusat latihan sukan selaian sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) yang jaraknya dekat dengan UPM.

“Saya tak tahu jadual akademik saya semester pertama ini kena merancang selepas jadual pendaftaran subjek dan jam kredit disahkan nanti.

“Saya tak boleh anggap kehidupan menyeronokkan di kampus, sebaliknya perlu fokus pendidikan dan latihan di Bukit Jalil,” katanya ketika ditemui semasa pendaftaran di Kolej Kediaman Keempat UPM dekat sini.

Muhammad Abd. Azim Othman

Ditanya mengenai sasaran pingat kali ini, Azmin berkata dia mensasarkan naik podium dan pingat emas sebagai mengubati kekecewaan sekadar pingat Perak di Malaysia.

“Ini penampilan ketiga saya nanti di Filipina selepas menamatkan saingan di Singapura pada 2015 di tempat lima dan pingat perak di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

“Harapkan rezeki emas naik podiumdi Filipina kali ini,” katanya

Dalam pada itu tanggungjawab sama dipikul oleh atlet taekwondo, Navin Arikrisnasamy, 20 yang mensasarkan emas kali ini selepas kecundang di pusingan suku akhir kepada atlet Vietnam dua tahun lalu pada temasya yang sama.

Navin merupakan pelajar jurusan pentadbiran perniagaan yang tampil bersama tujuh lagi atlet lain baju belang rimau dan berasal dari keluarga atlet taekwondo dari Banting, Selangor yang pernah mewakili negara di peringkat Asia Tenggara dan Asia.

“Saya minat perniagaan walaupun fokus sukan seni pertahankan diri dan karier abang saya semua sebagai ahli perniagaan menjadi henjutan untuk menceburi jurusan perniagaan di UPM.

“Bapa sayalah jurulatih saya yang suatu ketika dahulu mewakili Malaysia ke acara antarabangsa selain abang saya.

“Kekalahan kepada atlet Vietnam pada 2017 masih menjadi lebam, saya mahu mengubati kekecewaan itu menaiki podium untuk pingat emas kali ini di Filipina,” ujar beliau.

Justeru katanya, sebagai pelajar UPM, kini dia memiliki tugas berat untuk bijak menyusun jadual akademik dan latihan persiapan ke Filipina.

Navin Arikrisnasamy

“Saya bincang dengan jurulatih saya nanti menyusul jadual untuk latihan saya kemudian akan mendaftarkan subjek.

“Sekiranya jadual tak bercanggah, saya akan meneruskan latihan jika sebaliknya saya akan mendapatkan bimbingan pentadbiran universiti untuk menyusun semula jadual semester kali ini.

“UPM pilihan saya sebab ada kemudahan akademik dan sukan terbaik selain boleh cemerlang dalam akademik dengan pensyarah yang lebih berbakat,” katanya yang mahu mencapai tahap tertinggi dalam akademik serta sukan Olimpik selepas ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast