Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU), Ikmal Mustafa Musbah (kanan) dan Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir berbual selepas mendaftar bagi sesi akademik 2019/2020 di Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Tragedi kemalangan melibatkan treler pada 5 Januari 2010 di Kuala Lipis bersama makciknya semasa perjalanan pulang selepas mendaftar di sekolah memandu mengakibatkan kaki kanannya terputus sehingga paras paha.

Keadaan itu mengubah kehidupan Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir, 20. Sejak itu, dia kerap diejek dan diperlekeh rakan-rakan di sekolah yang sepatutnya menjadi sahabat ikhlas menyokong alam persekolahannya.

Bagaimanapun kebencian itu memberi semangat kental kepada Wan Ahmad Amiruladha untuk mengorak langkah sehingga hari ini dia berjaya melaporkan diri sebagai penuntut  Ijazah Sarjana Muda kesusasteraan Melayu bagi sesi pengambilan akademik 2019/2020 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir

“Saya kali pertama akan duduk jauh dari ibu demi pengajian tinggi di dalam alam kampus yang serba baharu untuk saya.

“Ibu menasihatkan saya supaya menjaga diri dan jangan salah pilih kawan di kampus sebaliknya memilih kawan yang boleh bawa kita sama sama berjaya,” katanya ketika ditemui selepas mendaftar di UPM hari ini.

Dalam pada itu, Haizah Samad, 20 dari suku kaum Jakun, Kampung Labong, Mersing Johor, berkata, abangnya yang berkerjaya sebagai penyampai radio Asyik FM, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi inspirasi untuk memilih jurusan komunikasi di UPM.

Menurutnya, ia satu alam baharu bagi dirinya selepas tinggal dalam kelompok komuniti dan kawasan sekolah dengan selesa.

Haiza Samad

“Saya minat untuk jadi wartawan sebab itu pilih jurusan Komunikasi di UPM, sebab abang saya yang cakap perlu pilih jurusan komunikasi untuk ke bidang kewartawanan.

“Orang lebih kenal saya sebab saya banyak mulut cakap banyak, itu inspirasi saya dirasakan sesuai cuba jurusan ini dan UPM menjadi pilihan saya.

“Pada mulanya UPM adalah pilihan keempat ke UPU namun tidak sangka boleh dapat juga,” kata anak ketiga dari empat beradik itu.

Lain pula situasi yang sedang menanti untuk pelajar kelainan upaya Ikmal Mustafa Musbah, 20, dari suku kaum Bajau Laut, Putatan, Kota Kinabalu Sabah yang kini perlukan bantuan seseorang untuk bergerak di dalam kampus.

Ikmal Mustafa Musbah

Pelajar baharu yang mendaftarkan diri dalam jurusan seni bina berkata, pergerakan kaki dan tangannya terhad sejak berusia lapan bulan sehingga pada satu tahap ketika di Tingkatan Lima dia hampir memutuskan untuk berhenti bersekolah.

Katanya, hobi mendalam selalu melakar sesuatu menggunakan pensil dan kertas lama kelamaan bertukar menjadi cita cita untuk bergelar arkitek bangunan satu hari nanti.

“Menjelang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya hampir putus asa sebab saya tidak boleh jalan selain pergerakan tangan terhad sehingga perlukan bantuan orang dan kalau menulis terlalu lama tangan akan bergegar dan perlu berehat.

“Namun ibu saya memberi kata kata semangat serta kasih sayangnya berjaya memberi keyakinan saya untuk mengharungi penderitaan ini sehingga ke UPM,” katanya.

Dia juga mengikuti nasihat guru yang mencadangkan supaya memilih UPM yang juga memberi keutamaan kepada pelajar yang mempunyai kelulusan seni visual untuk memastikan dia dapat mendalami bidang kegemarannya itu.

“Katanya dia tidak berdepan masalah untuk menguruskan diri kerana sudah diajar ibu untuk berdikari dan kakak sulung saya di Puchong akan menjaga saya,” ujarnya.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Prof. Datuk Dr. Aini Ideris (dua kiri) beramah mesra dengan pelajar yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU), Ikmal Mustafa Musbah (dua kanan) dan Wan Ahmad Amiruladha Wan Mahzir (tengah) pada Sesi Pengambilan Pelajar Baharu bagi akademik 2019/2020 di Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 SEPTEMBER 2019.

Dalam pada itu Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr.Aini Ideris berkata, pendaftaran pelajar baharu yang bermula 8.30 pagi itu menyaksikan 11 pelajar baharu kelainan upaya dan enam pelajar komuniti Orang Asli mendaftarkan diri hari ini.

Selain itu, katanya 81 pelajar keluarga berpendapatan rendah B40 didaftarkan melalui laluan pemilihan khas yang di benarkan senat universiti.

Program Wakaf Zakat UPM memperuntukkan RM2 juta untuk membantu pelajar miskin dan OKU dari segi bantuan yuran, sara diri, pendidikan dan peruntukan khas tambang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast