Kediaman pelajar UM
Seorang ibu bersama anaknya yang juga merupakan pelajar baru mengemas barang dibilik asram sempena Sesi Pendaftaran pelajar baru sesi 2019/2020 di Kolej Kediaman Ketujuh (Za’ba), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Parlimen Lembah Pantai sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan konsep perumahan mikro khas kepada para pelajar Universiti Malaya (UM) yang berdepan masalah mendapatkan kediaman khususnya bagi mereka tinggal di luar kampus.

Ahli Parlimennya, Fahmi Fadzil berkata, permasalahan itu kini melibatkan kawasannya iaitu Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam di mana ramai pelajar UM terpaksa berkongsi rumah sehingga 10 orang serumah.

“Ramai pelajar di luar kampus tinggal di Lembah Pantai seperti Kampung Kerinchi dan Pantai Dalam. Kita lihat keadaannya agak padat, kadang-kala 8-10 pelajar, bukan saja di Lembah Pantai bahkan di Petaling Jaya.

“Mungkin di pihak kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kita perlu pertimbangkan bagaimana kita boleh mewujudkan (perumahan mikro). Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah ada perumahan untuk orang bujang tapi khusus untuk para pelajar belum lagi.

“Konsep perumahan mikro untuk para pelajar tak perlu ruang yang besar. Mungkin kita boleh bincang dengan beberapa pihak untuk kita lihat bagaimana kita boleh bangunkan perumahan mikro untuk para pelajar,” katanya pada sidang media di Kolej Ketujuh (Za’ba) UM, di sini, hari ini.

Fahmi juga tidak menolak kemungkinan perumahan mikro yang diusahakan oleh orang perseorangan dalam kawasan Parlimennya boleh dijadikan contoh sebelum diperluaskan pihaknya.

“Di kawasan Bangsar ada individu-individu arkitek yang mengusahakan perumahan mikro untuk pelajar-pelajar UM.

“Kita sering tengok kepada pelajar baru, yang pelajar lama juga saya akan beri tumpuan juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast