KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta supaya tidak cepat gelabah dan melatah tentang kempen mengutamakan membeli barangan keluaran bumiputera.
Malah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan itu disaran supaya bekerja untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira lapisan atau latarbelakang dan tidak hanya sekadar bersuara apabila menerima ‘desakan’ pengusaha serta usahawan bangsa tertentu.
Begitu kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican apabila Guan Eng dilaporkan menggesa UMNO dan Pas mengecam kempen memboikot perniagaan bukan bumiputera.
“Sebenarnya faham atau tidak, yang diperjuangkan ini hanya ikthiar dan kesepakatan pengguna Muslim menggunakan barangan atau produk keluaran Muslim. Tidak ada boikot kepada penguasa lain.
“Untuk pengetahuan Yang Berhormat Menteri ini, mengutamakan produk keluaran Muslim tidak bermakna ekonomi akan menjadi bantut atau mundur. Ekonomi masih berjalan, wang mengalir dalam pasaran jadi apa isunya Guan Eng?
“Kesedaran ekonomi umat Islam ini tidak menggangu gugat keperkasaan ekonomi pihak mana-mana sekalipun. Ianya kempen yang digerakkan sendiri oleh rakyat dan langsung tiada kena mengena dengan Pas-UMNO. Jadi mengapa cuba politkkan isu?
“Jangan khuatir dengan kempen mahupun kuasa pengguna kerana ekonomi keseluruhan jauh lebih besar dan luas skopnya. Elok sahaja Guan Eng tumpukan seluruh fokus beliau kepada hutang negara yang semakin lama semakin meningkat selain janji PRU yang masih tinggal janji tidak tertunai,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Guan Eng dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan boikot berkenaan tidak berkesan dan hanya akan menyebabkan kemarahan.
“Jika Pas dan UMNO tidak menentang bukan Islam dan bukan Melayu, mereka harus mengamalkan pendirian yang sama mengecam kempen boikot produk bukan bumiputera seperti itu,” ujar Guan Eng.
Kempen yang bermula di media sosial itu menggesa agar orang Islam mengutamakan membeli produk keluaran bumiputera.
Kata Reezal lagi dalam nada menyindir, ada baiknya untuk Guan Eng membaca teks ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sempena Maal Hijrah tentang sikap mereka yang munafik dan mungkir janji.
“Wajar untuk dihadam sebagai pemegang amanah kantung negara, itu sahaja yang saya mahu sampaikan kepada Guan Eng,” tegasnya. –MalaysiaGazette