Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 OGOS 2019. Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Saksi kelapan, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin membuat pendedahan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai ‘kuasa luar biasa’ dalam memberi arahan di Pejabat Perdana Menteri.

Amhari yang merupakan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjawat jawatan Perdana Menteri mendedahkan perkara itu ketika perbicaraan hari ketiga kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah Amhari yang sudah mula bekerja dengan Najib ketika beliau masih lagi menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri sekitar 2008 juga mendakwa hubungan Jho Low dan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sangat akrab.

“Dalam pengetahuan saya, keluarga Datuk Seri Najib termasuk Datin Seri Rosmah juga sangat rapat dengan Jho Low kerana saya perasan Jho Low sering menerima panggilan telefon daripada Datin Seri Rosmah namun butiran perbualan saya tidak pasti.

“Sepanjang saya berkhidmat dengan Datuk Seri Najib, beliau selalu berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk perkara-perkara sulit. Ada masanya, arahan-arahan khas yang melibatkan perkara sulit kepada mendiang Datuk Azlin atau saya turut datang dari Jho Low.

“Saya amat pasti arahan-arahan itu kebanyakkan telah di sampaikan atau diketahui serta di persetujui oleh Datuk Seri Najib sendiri. Saya katakan ini kerana pernah sesekali menyemak kepada beliau sendiri. Selain saya, Datuk Azlin yang merupakan Ketua Setiausaha Sulit akan bertanya kepada beliau arahan Jho Low.

“Jho Low yang saya kenali sejak 2007 sebelum menjawat jawatan di PMO juga banyak kali memberitahu bagaimana rapatnya beliau dengan keluarga Datuk Seri Najib malah seringkali mengatakan beliau adalah ‘inner circle’ mereka.

“Walaupun Jho Low masih muda tapi saya lihat lelaki itu bukan sahaja mempunyai karisme sebaliknya mempunyai kuasa yang luar biasa kerana boleh mengarahkan kami di PMO terutamanya diri saya dan Datuk Azlin dalam melaksanakan pelbagai perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca keterangan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Amhari yang berkelulusan Sarjana Muda dari Universiti Warwick, United Kingdom merupakan Eksekutif Kanan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum dipinjamkan untuk bekerja dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2006 sehingga 2008.

Selain daripada itu, Amhari juga mendedahkan Jho Low merupakan pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan (G to G) serta pencatur politik Najib termasuk berperanan dalam dana-dana yang di perolehi oleh bekas Perdana Menteri itu.

“Setiap arahan yang dikeluarkan oleh Jho Low perlu segera dilaksanakan, kerana saya juga percaya setiap arahan itu sudah mendapat kelulusan daripada Datuk Seri Najib. Oleh kerana saya kenali Jho Low terlebih dahulu, maka saya juga penghubung untuk Jho Low dan Datuk Azlin,” ujarnya. –MalaysiaGazette