Prof Dr Hamdan Adnan

KUALA LUMPUR – Sokongan pengguna kepada barangan keluaran Muslim dan bumiputera tidak sewajarnya dikaitkan dengan perkauman sebaliknya perlu dilihat sebagai tanggungjawab dan keperluan orang Islam untuk mendapatkan produk-produk yang halal dan bersih.

Tokoh pengguna, Prof Datuk Dr Hamdan Adnan berkata, semua pihak perlu adil kepada pengguna-pengguna yang begitu mengambil berat soal isu halal dan haram serta cara-cara produk itu dikeluarkan.

“Ada pengguna yang Islam yang mengutamakan produk halal dan bersih, mereka ini memang cukup cerewet tentang apa bahan yang digunakan, bagaimana produk dihasilkan, siapa yang buat dan pelbagai 1001 soalan.

“Bagi pengguna yang seperti ini, pihak-pihak lain perlu adillah dengan mereka sebab itu hak mereka yang menjaga kehidupan mereka mengikut agama masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hamdan berkata demikian mengenai isu sokongan beli barangan keluaran Muslim dan bumiputera yang kini mencetuskan polemik.

Menurutnya, sikap was-was pengguna Islam dan bumiputera ini timbul disebabkan ada pengeluar yang tidak mengambil berat soal halal dan haram dalam menghasilkan produk mereka.

Jadi, apabila lebih banyak produk-produk Muslim yang halal muncul, maka timbul rasa tidak puas hati.

Sedangkan, jika diteliti dan diperhalusi, sokongan seumpama ini baik dan mengajar semua peniaga dan pengilang supaya berlaku jujur dalam perniagaan masing-masing.

“Pengguna Islam membeli barangan Muslim sebab tidak mahu rasa was-was, itu sahaja. Jadi apa masalahnya di situ. Daripada membeli barangan yang berlogo halal tetapi keluaran diragui, payah juga.

“Kita ada kepercayaan agama yang wajib dipatuhi,” ujar beliau.

Hamdan percaya, barangan yang dikeluarkan bukan bumiputera tetapi mematuhi semua prosedur halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedikit pun tidak gentar dengan sokongan kepada produk Muslim.

“Cuma jika peniaga yang tidak mematuhi arahan halal dan prosedur standard memang ‘habislah’ kerana pengguna Islam adalah terbesar di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast