Gadis berusia 15 tahun bernama Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis dilaporkan hilang di Maran sebaj Sabtu lalu

KUANTAN – Seorang wanita merayu orang ramai yang menjumpai anak gadisnya, Ummul Ayuni Atiqah Mohd Khamis, 15 supaya meminta gadis itu pulang ke pangkuan keluarga.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette, Sarah Mazlan, 39 memberitahu, anaknya itu keluar daripada rumah mereka di Kampung Baru, Sungai Chedung, Maran pada Sabtu lalu kira-kira pukul 2 petang.

“Puncanya dia disuruh buang sampah oleh kakaknya, tapi dia menolak, berkeras tak nak buat.

“Selepas kakaknya tegur kelakukannya tu, dia membentak dan naik ke tingkat atas rumah, dimarahi pulak abangnya,”katanya.

Bimbang pertengkaran kecil itu berlarutan, Sarah memujuk Ummul Ayuni yang mesra dipanggil Ma, agar mengikuti dia ke kedai makan tempat dia bekerja untuk menenangkannya.

Sebelum keluar, katanya, dia melarang Ma daripada membawa telefon bimbitnya bersama.

“Katanya tinggal telefon di tingkap tingkat atas, tapi apabila diperiksa tidak ada. Dan saya tanya lagidi mana telefonnya,” kata Sarah lagi.

Berang di tanya berulang kali mengenai keberadaan telefon bimbitnya itu, dia nekad keluar daripada pintu belakang rumah mereka sehelai sepinggang.

Ketika kejadian, Ma memakai baju kemeja lengan pendek corak petak-petak warna hitam putih, seluar slack warna hitam, tudung hitam dengan selipar jenis sandal hitam.

Menurut Sarah lagi, bimbang tentang keselamatan Ma, dia terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran pukul 10 malam selepas anaknya itu masih belum pulang.

“Harapan kakak,  kalau ada siapa-siapa yang jumpa, akak minta sangat minta dia balik rumah. Akak harap dia dalam keadaan selamat. Kami semua tunggu dia balik.

“Akak betul-betul harap,” rayunya lagi.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurut kenyataannya, anggota polis bahagian risikan dan operasi telah menjalankan operasi mencari dan mengesan mangsa di seluruh kawasan Maran, Sri Jaya, Pekan Awah, Bandar Jengka dan Sungai Jerik, namun mangsa masih gagal dikesan.

Justeru, bagi orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa, boleh hubungi IPD Maran atau mana-mana balai polis terdekat atau hubungi ibu mangsa di talian 011-25640664.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast