KUALA LUMPUR – Kebangkitan semula budaya dan tamadun Melayu perlu sebagai langkah untuk membimbing umat ke jalan intelektual dalam politik dan ekonomi.
Malah, ia bukan satu seruan baharu sebaliknya langkah kembali semula kepada syiar agama yang menegaskan tentang prinsip-prinsip al-Quran dan sunnah telah dilakukan sejak abad ke-19, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kebangkitan Islam akan melibatkan komuniti Islam berdasarkan visi tertentu iaitu kesempurnaan, penuh dengan kebenaran dan cintakan pembelajaran.
“Dalam hal ini, iman dan penegasan multikulturalisme akan menjadi penting sementara keadilan dan belas kasihan, saling menghormati dan kebebasan dan tanggungjawab membentuk semangat baru kolektif untuk memandu ummah bergerak maju,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan ke-6, Mengenai Sejarah dan Kebudayaan: Tempoh Penjajah di Tanah Melayu dan Isu-isu Peradaban di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) di sini hari ini.
Cabaran-cabaran peradaban semasa era kolonial di kepulauan Melayu menjadi antara topik penting perbincangan di persidangan yang berlangsung dua hari bermula hari ini.
Sebanyak 15 kertas kerja daripada ahli akademik dan ahli sejarah dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat akan dibentangkan dalam persidangan berkenaan.
Ia meliputi cabaran-cabaran peradaban semasa era kolonial di kepulauan Melayu.
Topik-topik yang dibincangkan sekaligus dapat memperdalam serta mempromosikan keamanan dan legasi Islam di Nusantara serta mengetengahkan kepentingan ke serata dunia dalam mempromosikan kerjasama dan kajian semula dalam sejarah tamadun tentang pergolakan politik Islam. – MalaysiaGazette