KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk membincangkan pelbagai isu secara terbuka.
Kata Naib Canselor Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim, keterbukaan yang selaras dengan Malaysia Baharu itu bagaimanapun perlu diamalkan sejajar dengan semangat kebebasan akademik, dalam masa yang sama tidak melanggar undang-undang.
“Ini dapat dibuktikan melalui beberapa inisiatif seperti pemansuhan subseksyen di dalam Akta Universiti dan Kolek Universiti (AUKU) dan yang terbaharu adalah pelantikan pelajar iaitu Yang Dipertua dan Naib Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM) sebagai ahli senat universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Ikrar Aku Janji Pelajar Bahari Sesi 2019/2020.
Selain itu Abdul Rahim berkata, UM komited untuk memberi ruang semua pelajarnya memperkasakan diri dalam potensi yang dmiliki masing-masing.
“Para pelajar juga mestilah memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang diberikan ini. Namun pada masa yang sama anda semua harus sentiasa sedar bahawa setiap kepercayaan dan kuasa yang diperolehi datang bersama tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas dan jangan sesekali disiakan,” tambahnya.
Pelajar universiti itu tambahnya tidak sekali-kali akan diabaikan daripada pelbagai aspek kemudahan fasilitasi, patah lagi yang menghadapi kekangan kewangan.
“Bagi pelajar yang menghadapi masalah kewangan, terdapat Unit hubungan dan Kebajikan di Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang bertanggungjawab memberi bantuan melalui Tabung Kebajikan Pelajar dan Tabung-tabung Zakat.
“Pihak Universiti melalui Jabatan Bendahari juga turut menyediakan Tabung Pinjaman Universiti untuk tujuan membantu pelajar selain Food Bank penyediaan makanan percuma,” ujarnya lagi.
Minggu Haluan Siswa yang berlangsung dari 1 hingga 6 September itu memberi tumpuan terhadap penglibatan pelajar baharu sepenuhnya terutama dari segi pendedahan kepada kehidupan kampus yang lebih menyeluruh di samping taklimat-taklimat dan pengisian penting berkaitan hal ehwal pelajar dan akademik.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang enam hari adalah lawatan sekitar kampus, pertandingan pidato, sukan dan rekreasi, pertandingan kesenian dan kebudayaan, dan promosi badan pelajar.
Untuk rekod, seramai 4,025 pelajar baharu pelbagai jurusan telah mendaftar di Universiti Malaya bagi kemasukan untuk sesi 2019/2020.-MalaysiaGazette