Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Pengerusi Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Tan Tai Kim (kiri) selepas mengadakan perjumpaan dengan Wakil daripada Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) Johor berikutan pengharaman Persatuan Dong Zong di Kementerian Dalam Negeri, Kompleks D, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA –  Tindakan pembatalan Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor yang bernaung di bawah Dong Zong oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bukan satu yang luar biasa.

Sebaliknya menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ia merupakan kes yang biasa terjadi apabila berlaku perlanggaran oleh sebuah persatuan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara spesifik sebab pembatalan ROS hanya menyebut perkara teknikal yang menjadi punca.

“Disebabkan perkara tertentu yakni teknikal baru-baru ini ia terbatal jadi sebab itu mereka mohon saya pertimbangkan.

“Saya telah dengar kes yang dibentangkan peguam saya dapati perkara itu adalah  biasa. Ada beberapa badan pertubuhan yang disebabkan tertentu dibatalkan, merayu kepada menteri. Tiada yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Kementerian Dalam Negeri selepas sejam mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor  dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong selain peguam mereka.

Seperti mana proses biasa, tambah Muhyiddin, persatuan itu boleh membuat rayuan yang telah diserahkan kepada KDN dan dalam masa yang sama mematuhi kehendak RoS sebelum beliau sendiri mempertimbangkan sama ada pembatalan akan ditarik semula atau tidak.

RoS juga, tambah beliau, berhak memanggil persatuan tersebut untuk memberi penjelasan mengikut keperluan.

“Mengikut prosuder biasa apabila sebuah persatuan itu terbatal maka pihak yang terlibat boleh kemukakan rayuan kepada pihak menteri untuk memutuskan pembatalan itu boleh ditarik semula.

“Mereka boleh kemukakan rayuan rasmi yang hari ini telah diserahkan kepada saya. Saya sudah serahkan kepada RoS  untuk menimbang supaya bila diadakan penelitian kes ini maka RoS boleh memanggil wakil kesatuan untuk mendapatkan penjelasan.

“Atau kalau dilihat dari sudut perlembagaan persatuan ada sesuatu yang perlu dipinda dan disesuaikan dengan Akta Pertubuhan, maka nasihat itu akan diberikan.

“Yang paling penting di sini persatuan mesti mematuhi kehendak RoS bergantung kepada Akta Pertubuhan 1966. Kalau perkara itu boleh disempurnakan dan tidak bercanggah maka saya boleh menimbangkan semula status dan kedudukan persatuan,”katanya lagi tanpa menyebut tempoh masa keputusan akan dibuat.

Dalam pada itu, Muhyiddin mengesahkan wujud pandangan sebelum ini bahawa sepatutnya Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor  yang berusia lebih 60 tahun itu didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Namun selepas mendengar penjelasan sebentat tadi Muhyiddin maklum bahawa persatuan itu tidak mengurus sekolah kerajaan maka tidak ada keperluan ia didaftar di bawah KPM.

Turut hadir dalam pertemuan dengan Muhyiddin adalah Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim.

Untuk rekod, Persatuan Pengurus dan Guru Sekolah Cina Johor salah satu kesatuan yang bernaung di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. itu lah bercakap ikut lidah tak bertulang. anti jawi anti islam. negeri lain boleh dijohor jangan. kalau ros tarik balik pun kena tahu juga kehendak ssultan.

Comments are closed.