Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (kiri) pada Majlis Pelancaran Program Women In Business (WINBIZ) di Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) mensasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM50 juta dalam tempoh 12 bulan menerusi program terbaharunya, Women in Business (WinBiz).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed,  bank tersebut melihat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah satu segmen yang penting dan perlu diberi perhatian.

Ini kerana segmen tersebut mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan sekali gus menjadi penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Setakat ini katanya, portfolio PKS Bank Islam berjumlah RM2.1 bilion dan dijangka bertambah dengan pelancaran program WinBiz itu.

“Untuk peringkat awal ini, para pelanggan WinBiz dapat menikmati kemudahan-kemudahan kewangan seperti pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembayaran sehingga tujuh tahun.

“Kemudahan pembiayaan ini juga dijamin 70 peratus oleh kerajaan Malaysia melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP),” katanya semasa sidang media selepas majlis pelancaran WinBiz di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pelanggan program WinBiz juga layak untuk menikmati kemudahan seperti kad kredit i-Visa Infinite Business, perbankan pelaburan korporat, Terminal Penyelesaian Pembayaran, Akaun Pelaburan Al-Awafar SME dan Akaun Semasa iGain SME.

Tambah Mohd. Muazzam, walaupun Bank Islam hanya memperuntukkan RM50 juta setahun untuk program WinBiz, bank tersebut tidak teragak-agak untuk menambah peruntukan sekiranya ia mendapat sambutan hangat.

Ini kerana katanya, bank tersebut mempunyai kecairan yang mencukupi untuk menambah peruntukan berkenaan.-MalaysiaGazette