KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) melihat perlunya tindakan lebih tuntas dalam menyokong usahawan Bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS).
Walaupun Belanjawan 2025 mengumumkan pelbagai bentuk bantuan keusahawanan melalui institusi kewangan dan agensi kerajaan, beberapa cabaran terus membelenggu usahawan bumiputera.
Setiausaha Agung DPMM, Ahmad Yazid Othman berkata, masalah yang dikenal pasti adalah maklumat tidak sampai kepada usahawan.
“Pelbagai program dan bantuan diumumkan setiap tahun namun ramai usahawan bumiputera tidak mendapat maklumat yang tepat atau mencukupi mengenai bantuan yang tersedia.
“Kekurangan pengetahuan ini menyebabkan ramai yang terlepas peluang untuk memohon atau menerima bantuan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Kedua, tidak layak untuk pinjaman atau geran kerana ramai usahawan bumiputera mendapati diri mereka tidak layak untuk memohon geran atau pinjaman boleh ubah yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan agensi pemberi dana.
“Kriteria kelayakan seringkali menyekat akses kepada bantuan kewangan yang diperlukan,” ujarnya.
DPMM mendapati tiada mekanisme pemantauan yang berkesan untuk memastikan usahawan yang telah menerima bantuan atau pembiayaan benar-benar memanfaatkannya secara produktif.
Hal itu menyebabkan pelbagai usaha kerajaan gagal mencapai hasil yang diingini.
“Bantuan yang diterima oleh usahawan sering kali bersifat sementara dan tidak berstruktur. Tiada rangka sokongan menyeluruh yang dapat membantu usahawan membina perniagaan secara berperingkat (step-up) dengan panduan dan sokongan yang berterusan,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Yazid, DPMM telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan pusat sehenti bagi PMKS bumiputera sejak 2018.
Kini, lebih jelas keperluannya dalam Belanjawan 2025 di mana banyak institusi kewangan dan agensi bantuan disenaraikan namun beroperasi secara berasingan dan tidak digerakkan ke arah mencapai matlamat bersama dengan hasil yang jelas.
Pusat Sehenti ini boleh menjadi tempat di mana usahawan Bumiputera bukan sahaja mendapatkan bantuan kewangan tetapi juga menerima khidmat nasihat dan bimbingan dalam pelbagai aspek.
“DPMM percaya bahawa penubuhan pusat sehenti akan memastikan pengaliran maklumat, akses bantuan yang lebih meluas, serta sokongan berstruktur kepada usahawan bumiputera sekali gus mengatasi kelemahan yang dihadapi selama ini.
“Kami menyeru agar kerajaan mengambil langkah segera dalam menjadikan pusat ini realiti dan kami bersedia untuk bekerjasama dalam memastikan kejayaan usahawan Bumiputera di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette