Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada sidang media selepas keluar dari Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri M Saravanan menggesa supaya tarikh perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya ditetapkan segera, namun pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih belum bersedia untuk berbuat demikian.

Perkara itu dimaklumkan dalam prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azrul Darus, pagi ini.

Saravanan diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang hadir bersama Lavinia Raja, manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini.

Dalam prosiding itu, hakim bertanyakan kepada pihak pendakwaan mengapa mereka masih memerlukan masa dan belum bersedia untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Menjawab pertanyaan itu, Rubini memaklumkan pihak pendakwaan masih belum menerima dua dokumen berkaitan kes.

Geethan kemudian memaklumkan pihak pembelaan bersedia menerima dokumen berkenaan dan ia boleh diserahkan pada bila-bila masa sebelum tarikh perbicaraan.

Datuk Geethan Ram Vincent.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 3 November ini bagi penyerahan dua dokumen berkenaan serta penetapan tarikh perbicaraan.

Saravanan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada 28 Ogos lalu atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

Beliau didakwa menerima suapan bagi membantu meluluskan permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn Bhd ketika menjadi Menteri Sumber Manusia.

Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa menerima RM150,000 dan RM350,000 secara tunai, selain RM597,000 melalui sekeping cek.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 16 Jun dan 7 Julai 2022 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama.

Saravanan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan memohon dibicarakan.

Mahkamah sebelum ini membenarkan beliau diikat jamin RM450,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan syarat supaya beliau melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap tiga bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here