Ahmad Rizal Adnan bertemu dengan pesakit yang menerima rawatan.

KENINGAU – Seramai 60 pesakit menerima manfaat menerusi Program SINAR4U 2026, inisiatif pembedahan katarak anjuran bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Hospital Keningau yang dilaksanakan baru-baru ini.

Program berkenaan yang telah dilaksanakan di Hospital Keningau merupakan sebahagian usaha HUMS mendekatkan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran kepada masyarakat di Sabah.

Menurut kenyataan HUMS, pelaksanaan SINAR4U yang memasuki tahun ketiga sejak mula diperkenalkan pada tahun 2024 itu telah memberi manfaat kepada keseluruhan 121 pesakit sejak inisiatif tersebut dimulakan.

“Program tahun ini turut menyaksikan kerjasama rentas institusi dengan penglibatan pakar bedah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan College of Ophthalmologists, Academy of Medicine of Malaysia (COAMM).

“Kolaborasi ini mencerminkan komitmen pelbagai institusi dalam menghimpunkan kepakaran dan sumber bagi membawa perkhidmatan kesihatan berkualiti lebih dekat kepada masyarakat yang memerlukan,” jelas kenyataan berkenaan.

Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan, dan turut dihadiri Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Madya Dr. Fairrul Masnah @ Kadir dan Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh.

Selain menyediakan rawatan dan pembedahan katarak, program itu turut memberi peluang kepada pesakit mendapatkan kembali penglihatan serta meningkatkan keupayaan menjalani kehidupan dengan lebih berdikari dan yakin.

“Justeru itu, HUMS merakamkan penghargaan kepada semua penaja, penyumbang, rakan strategik, pakar perubatan, petugas kesihatan, urus setia dan sukarelawan yang menyumbangkan kepakaran, sumber, masa dan tenaga bagi menjayakan
program ini.

“Kejayaan pelaksanaan SINAR4U 2026 menjadi pemangkin kepada HUMS untuk meneruskan dan memperluaskan inisiatif berkenaan supaya lebih ramai masyarakat Sabah mendapat akses kepada rawatan katarak pada masa hadapan,” tambah HUMS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here