KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir hairan mengapa Lim Guan Eng mahu UMNO dan Pas menentang sokongan membeli barangan keluaran Muslim dan mahu kedua-dua parti itu menghentikan boikot barangan bukan Islam.
Menurutnya, mengapa Setiausaha Agung DAP itu meletakkan beban ke atas UMNO dan Pas – seperti membuat tuduhan dahulu dan kemudian orang yang kena tuduh terpaksa cari jalan untuk menafikannya.
“Adakah benar UMNO dan Pas melancarkan atau menggalakkan kempen memboikot barangan non-Muslim sehingga serangan dihalakan kepada kedua-dua parti ini?
“Tidakkah ini menunjukkan secara tersirat Guan Eng menyatakan bahawa Pas dan UMNO lah di belakang kempen sedemikian?,” tanya beliau dalam satu kenyataan di sini.
Soalnya, apa kena mengena kempen membeli barangan dan produk Muslim dengan sentimen anti bukan-Muslim, rasisme dan ekstremis.
Tanya beliau lagi, kenapa Guan Eng menggunakan ayat yang boleh mengundang tafsiran rasis dan ekstremis, hanya dalam hal perniagaan yang melibatkan orang Melayu dan Islam.
“Apakah sekiranya kempen yang sama dilancarkan oleh bukan-Muslim, untuk menggalakkan hanya membeli barangan keluaran mereka sahaja, maka kenyataan yang sama akan dikeluarkan?
“Kenapakah Guan Eng menggunakan istilah itu ketika menisbatkannya dengan UMNO dan Pas. Apakah DAP tidak berfikiran rasis ketika membahas dan menuduh orang lain rasis?,” soalnya lagi.
Zambry berkata, sikap anti sesuatu kumpulan dan kaum, atau rasisme dan ekstremisme tidak lahir dari satu keadaan semata-mata.
Tetapi ia menjadi sesuatu yang selesa bagi sang penguasa untuk melemparkan tuduhan kepada musuh politiknya, juga menjadi alat oleh mereka yang mahu memenangi sokongan kumpulan dan etnik yang mendokongnya selama ini.
Jelasnya, boikot berlaku adalah disebabkan suatu keadaan emosi yang sangat kompleks yang dihadapi individu dan kumpulan hasil daripada keadaan yang memaksa mereka melakukan demikian. Ia dilihat sebagai tanggungjawab moral untuk mencetuskan kesedaran perasaan.
Orang boikot sesuatu produk kerana tindakan pihak pengeluar produk melakukan ketidakadilan atau menekan, menipu dan mengeksploit pihak yang menggunakan produk.
“Seperti yang pernah dilancarkan oleh Tun M ketika menjadi PM ke-4 iaitu “Buy British Last” adalah atas kemarahan dan tindakan membalas terhadap apa yang dilakukan kepada negara oleh Kerajaan British ketika itu. Maka berlakulah peristiwa “ the dawn raid” oleh PNB dalam tahun 1981 yang membawa kepada pemilikan Guthrie oleh Kerajaan Malaysia.
“British bertindak mengenakan peraturan baru yang lebih ketat di bursa dan disusuli dengan kenaikan yuran pengajian pelajar Malaysia di Britain dari £300 ke £900,” katanya.
Bagaimanapun, dalam konteks kehidupan rakyat di negara kita sendiri, tidak ada gerakan seumpama itu atas nama Bumiputera melawan bukan bumiputera, Islam melawan bukan Islam. Atau suatu keadaan saling berbalas dendam, saling serang menyerang.
Dalam suasana perniagaan kecil dan besar, runcit dan pasar raya, rakyat Malaysia tidak pernah memikirkan soal boikot memboikot secara terancang dan bersungguh-sungguh.
Ini kerana, kehidupan kita sangat kompleks yang saling memiliki nilai konsumerisme merentasi bangsa dan agama.
“Apa yang menjadi perhatian umat Islam ialah barangan yang tidak diproses mengikut lunas halalan tayyiban. Kita pernah mendengar bagaimana ayam yang tidak disembelih cara Islam dilabel sebagai halal, kisah kilang bihun yang diproses dalam keadaan yang sangat kotor dan jijik yang dilabelkan sebagai halal, belacan yang dibuat dengan kekotoran, berulat dan dilabelkan sebagai halal, kicap yang dihasilkan dari sumber yang tidak halal, dan lain-lain makanan yang tidak halal tetapi dilabelkan halal.
“Selagi ada garis dan batas halal, orang Islam tidak menjadi masalah untuk memasuki kedai Cina dan India. Orang Melayu membeli barang runcit di kedai Cina dan India sudah berjalan tanpa curiga sekian lama. Demikian juga orang Cina dan India tidak menjadi halangan masuk ke kedai Melayu yang diketahui kesedapan masakannya,” jelas Zambry lagi.
Tegas beliau, masyarakat Melayu dan bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak adalah golongan yang sentiasa memiliki nilai hormat dan terbuka dalam hal perniagaan dan peruncitan sehingga orang Cina boleh berniaga dalam kampung berabad lamanya tanpa diganggu oleh rusuhan, rompakan dan pembakaran kedai-kedai mereka.
Mereka hidup dalam kerukunan sebagai rakyat pelbagai kaum yang selamat dan aman.
Suara menggalakkan dan membantu golongan pribumi untuk terlibat dalam perniagaan sepatutnya bukanlah menjadi kejutan buat Guan Eng dan DAP.
Ini kerana sejak dari dulu sudah wujud pelbagai cara dan pendekatan kerajaan untuk membina golongan Bumiputera yang mampu bersaing dalam pasaran.
Malah diwujudkan kesedaran untuk mereka dapat bersaing di pasaran terbuka. Ada yang berjaya, ada yang tidak.
Salah satu gerakan kesedaran untuk bumiputra berniaga dari sekecil-kecilnya di pasar malam dan pasar tani. Bayangkanlah kalau di waktu itu langkah kerajaan mewujudkan peniaga-peniaga pasar malam dan pasar tani pun dinilai dari sudut memboikot produk bukan-Muslim, maka akhirnya orang Melayu dan bumiputera tidak boleh langsung berada dalam bidang perniagaan.
Cuma kali ini seperti dirasai bahang pertentangan dan seolah-olah ia menjadi gerakan yang sangat ditakuti oleh DAP akibat daripada kerjasama UMNO dan Pas.
“Kenapa semuanya dilihat dalam konteks politik kerjasama UMNO dan Pas? Dan ia mengingatkan semula kenyataan terbuka Guan Eng baru-baru ini bahawa kerjasama UMNO-Pas adalah seperti perisytiharan perang terbuka terhadap bukan-Melayu dan bukan-Islam.
“Masalahnya ialah pemimpin-pemimpin DAP masih mahu membawa naratif perkauman dan ekstremisme agama ketika berhujah dengan merujuk khusus kepada UMNO dan Pas.
“Apabila Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas, menjelaskan bahawa gerakan membeli barangan buatan Muslim adalah langkah inklusif, Ram Karpal menempelak Takiyuddin dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang sangat merbahaya kepada negara berbilang bangsa.
“Sedangkan Takiyuddin langsung tidak menyatakan sokongannya kepada memboikot barangan bukan-Islam,” tambahnya.
Zambry yakin rakyat lebih menumpu kepada kesengsaraan hidup mereka kini setelah dijanjikan dengan pelbagai perkara kebaikan.
Rakyat kini memantau harga barang dan kos sara hidup yang terus tinggi, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang tidak menunjukkan kebaikan, harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang merudum, dan nilai ringgit yang lemah.
Malah peningkatan hutang negara turut membimbangkan.
“Mungkin strategi LGE berjaya apabila Pas dan UMNO sekarang berlumba-lumba untuk menjelaskan bahawa mereka tidak memboikot atau bukan anti bukan-Muslim, tetapi dalam masa yang sama ia menambahkan lagi perasaan meluat rakyat terhadap tuduhan dan serangan berterusan terhadap kerjasama UMNO dan PAS.
“Dan ia pasti meningkatkan lagi komitmen UMNO dan Pas bahawa ta’awun dua parti terbesar ummat Islam ini akan membawa kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat seluruh rakyat dalam negara ini,” kata Zambry. – MalaysiaGazette