Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin

PETALING JAYA – Rata-rata rakyat Malaysia pada hari ini masih lagi membincangkan isu-isu perkauman dan agama serta pelbagai perkara lain yang remeh atau sempit walaupun telah 62 tahun mengecapi kemerdekaan, menurut seorang penganalisis politik.

Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata ini disebabkan pemahaman mengenai adat dan budaya pelbagai kaum serta sensitiviti kepercayaan agama, masih lagi pada tahap yang rendah khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Perkara-perkara seperti inilah yang menimbulkan masalah serta menggugat keharmonian apabila diperbesarkan. Orang kita terlalu fokus kepada yang negatif dan gemar mendengar cakap-cakap ‘kedai kopi’ sedangkan banyak sisi positif yang boleh ditonjolkan.

“Misalnya ada yang mendakwa keadaan sekarang bahaya…tetapi bahaya yang bagaimana Tidak lain ia hanya andaian yang menakut-nakutkan umum. Apatah lagi dengan adanya media sosial dan telefon pintar yang digunakan secara tidak bijak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi antara ahli panel jemputan bagi Wacana bertajuk ‘Malaysia Selepas 62 Tahun Merdeka’ di ibu pejabat Sin Chew Daily di sini, malam tadi.

Wacana dengan tema #KitalahMalaysia bersempena kempen kemerdekaan memupuk persefahaman itu dianjurkan oleh akhbar Sin Chew Daily dan Sinar Harian yang diadakan selama 17 hari, bermula 31 Ogos sehingga 16 Sept ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata semua pihak harus melihat kepada perkara yang lebih luas dan realistik untuk diperkatakan, misalnya soal memperkasa ekonomi dan pendidikan agar dapat bersama melangkah maju ke hadapan.

Katanya perlu juga difahami bahawa apa yang dikecapi hari ini adalah menerusi semangat kesepaduan antara kaum yang telah terjalin sejak sekian lama dan ia perlu terus dipupuk agar tidak terhakis.

“Malaysia masih dalam proses ke arah mencapai perpaduan yang sebenar. Semangat kesepaduan kaum yang ada sekarang diterjemah apabila kita bersekali walaupun saling berbeza antara satu sama lain. Inilah istimewanya rakyat Malaysia.

“Kita masih boleh untuk tidak bersetuju dan adakala bertegang dalam pelbagai perkara, tetapi masih mampu duduk secara aman. Maka untuk mencapai perpaduan yang diimpikan, kita harus mencari titik persamaan dengan cara lebih mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shamsul Amri mencadangkan agar kerajaan tidak lupa memberi keutamaan kepada peruntukan kewangan bagi badan-badan berkepentingan untuk menyemarakkan lagi program-program berteraskan perpaduan rakyat.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, bekas Presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat berkata Malaysia perlu melangkah ke hadapan untuk mengekalkan toleransi yang sedia ada.

“Saya rasa situasi perpaduan di Malaysia kita miliki kedua-dua elemen iaitu erat dan tegang. Tetapi kita masih boleh bersama dalam banyak perkara. Kita perlu lebih mengenali dan hayati budaya antara satu sama lain. Jangan biarkan toleransi yang telah sedia ada antara kaum di negara ini terhakis hanya kerana perbalahan isu perkauman atau agama serta perbincangan yang sempit ,” katanya.

Panel ketiga yang juga Naib Presiden MIC Datuk C. Sivarraajh berkata kegemilangan serta kesenangan yang dikecapi negara tidak wajar dihancurkan oleh sentimen perkauman.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sedar bahawa sejak merdeka negara kita telah melalui pelbagai cabaran dan pelbagai inisiatif telah dibuat dalam pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan serta sosial rakyat.

“Saya percaya lebih banyak kebaikan yang kita boleh kecapi jika kita bersatu padu dengan mencari titik persamaan daripada mencari titik perbezaan,” katanya.

— BERNAMA