Dr. Nungsari Ahmad Radhi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah mengenakan penalti sebanyak RM 1,179,889 pada MA Sepang Sdn. Bhd. kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAVCOM pada suku pertama 2019.

Dalam satu kenyataan di sini, Mavcom berkata, MA Sepang didapati gagal untuk memenuhi beberapa keperluan di dalam Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang bagi tempoh Januari hingga Mac 2019.

Pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di kedua-dua KLIA dan klia2 telah dilaksanakan sejak 1 September 2018 dan mengikut proses bagi penentuan ketidakpatuhan.

Mavcom berkata, menurut seksyen 98A(3)(b) Akta 771, Suruhanjaya diberi kuasa untuk mengenakan jumlah penalti yang tidak melebihi lima peratus daripada perolehan tahunan MA Sepang.

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi, berkata, trafik udara di Malaysia pada hari ini merekodkan lebih daripada 100 juta penumpang setahun.

Dengan mengambil kira jumlah pengguna penerbangan yang besar ini, Suruhanjaya telah menetapkan Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang, yang telah direka khas untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna penerbangan, serta sebagai suatu cara untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dalam industri penerbangan Malaysia.

“Tindakan yang dikenakan ini juga bertujuan untuk mendorong industri penerbangan di Malaysia ke arah peningkatan tahap perkhidmatan, integriti dan ketelusan, selaras dengan objektif jangka panjang MAVCOM untuk industri.” tambah Dr Nungsari.

Kenyataan itu turut memaklumkan AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) telah dikenakan penalti kewangan kerana tidak mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) kerana mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas.

Mavcom telah memutuskan untuk mengenakan penalti sebanyak RM200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X bagi ketidakpatuhan pertama kepada subperenggan 3(2) MACPC, bagi tempoh mulai 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019.

Jelas Dr Nungsari, MACPC telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2016 dan diterbitkan sejajar dengan matlamat Mavcom untuk melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna penerbangan.

Sebagai kod perlindungan pengguna pertama yang digubal khusus bagi industri penerbangan Malaysia, MACPC menggalakkan ketelusan terutamanya mengenai obligasi-obligasi pengendali perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna penerbangan dan berperanan sebagai panduan yang lebih jelas bagi pengguna mengenai hak-hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna penerbangan.

Dalam memastikan agar hak-hak pengguna penerbangan dilindungi dengan lebih efektif, MACPC telah ditambahbaik dengan pindaan yang dikuatkuasakan pada 1 Jun 2019.

Katanya, Seksyen 69 (4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan perenggan 22 MACPC memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mengenakan penalti kewangan bagi ketidakpatuhan kepada MACPC, suatu amaun yang tidak melebihi RM 200,000 dan dalam hal ketidakpatuhan kedua atau yang berikutnya, suatu amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan yang dikenakan bagi ketidakpatuhan yang pertama.

Setelah penilaian menyeluruh dan mengambil kira representasi bertulis oleh kedua-dua syarikat penerbangan tersebut, suruhanjaya telah memutuskan untuk mengenakan penalti sebanyak RM 200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X bagi ketidakpatuhan pertama kepada subperenggan 3(2) MACPC, bagi tempoh mulai 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019. – MalaysiaGazette