KUALA LUMPUR – Selepas ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam, vokalis Exists, Mamat dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, keadaan Mamat sangat baik dan dia begitu tenang sebaik dibebaskan.

Shirazdeen berada di Johor Bahru untuk membawa Mamat ke Kuala Lumpur bagi memberi tumpuan pada latihan dan persiapan konsert Exists Reunion pada 28 September ini.

“Alhamdulillah, keadaan Mamat okey. Saya belum sempat berbual panjang dengan dia. Kami akan berangkat ke Kuala Lumpur petang ini juga,” kata Shirazdeen dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad malam, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin ditahan oleh polis di Taman Perling, Johor.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

Sementara itu, Shirazdeen juga berkata, selaku penganjur konsert reunion, Shiraz Projects sedang merancang untuk mengundang wartawan dalam sidang media bersama Mamat.

“Kami ada rancangan untuk buat sidang media untuk menjelaskan situasi sebenar selain memaklumkan mengenai perkembangan konsert Exists Reunion,” kata Shirazdeen lagi.

Berita baik ini juga dikongsi oleh Shiraz bersama anggota-anggota Exists Reunion yang lain.

Pihak Shiraz Projects juga berterima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda.

“Kami amat menghargai sokongan yang anda berikan dan Shiraz Projects akan sentiasa berkongsi perkembangan mutakhir mengenai konsert Exists Reunion dari semasa ke semasa,” tambah Shiraz.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast