KUALA LUMPUR – Pejabat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa cuba ‘melindungi’ Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang terlibat dalam rusuhan bersenjata pada 31 Ogos lalu.
Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan, penipuan itu dapat dikesan apabila pegawai-pegawai Anwar didakwa bertentangan dengan kenyataan polis yang mengesahkan kejadian berkenaan.
“Ketika kes ini tersebar, media melaporkan Farhash mengatakan ia khabar angin dan fitnah yang dibuat oleh musuh politik berbayar ke atasnya. Katanya kejadian yang dikatakan itu tidak berlaku.
“Kenyataan Farhash itu turut disokong oleh Setiausaha Akhbar Anwar iaitu Nashrul Abaidah yang menyatakan kejadian yang dikatakan tidak berlaku.
“Namun apabila merujuk kenyataan polis yang mengatakan kejadian tersebut benar berlaku dan Farhash diminta serah diri ternyata rupanya menipu dengan pegawai pejabat Anwar ini nampaknya sudah menjadi kebiasaan.
“Sehingga kini tidak ada pembetulan atas penipuan awal yang dibuat oleh pegawai-pegawai pejabat Anwar tersebut,” katanya yang dimuatnaik di Facebook miliknya, hari ini.
Rabu lalu, pihak polis meminta Farhash, 37, tampil membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan di sebuah kompleks sukan di Ampang pada malam Merdeka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash Wafa dipercayai merupakan seorang suspek yang terlibat dalam satu insiden mendatangkan kecederaan terhadap seorang individu lelaki tempatan.
Dalam kejadian berlaku pada 31 Ogos jam 9 malam itu, satu kejadian rusuhan bersenjata telah berlaku yang melibatkan seramai lebih 12 lelaki tempatan.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard juga mempersoalkan tindakan mangsa Farhash yang menarik balik laporan polis selepas dia mengalami kecederaan teruk dalam serangan tersebut.
“Ini menimbulkan syak wasangka kuat lagi, bagaimana pengadu yang cedera teruk diserang termasuk dengan senjata tajam oleh lebih 10 orang menarik balik laporan. Adakah ada unsur ‘bayaran’ atau ‘ugutan’ wujud?
“Untuk pengetahuan semua berdasarkan undang-undang Malaysia, laporan berkenaan jenayah tidak ada istilah tarik laporan, sebaliknya perlu tindakan polis.
“Namun keraguan juga muncul, adakah polis akan senyapkan laporan ini kerana ini bukan kali pertama laporan jenayah keganasan dibuat ke atas setiausaha politik Anwar itu,” dakwanya.
Sehubungan itu, Badrul Hisham mendesak pihak polis agar mengambil kira kenyataan pegawai-pegawai Anwar yang bercanggah dengan kenyataan pihak polis berhubung kesahihan jenayah yang dilakukan oleh Farhash, 30 Ogos lalu.
“Jika menipu dia sudah tentu didakwa kerana membuat laporan palsu atau adakah kes tersebut ‘terpaksa’ disenyapkan tak kira berapa kosnya kerana mungkin melibatkan kes lain yang lebih mengaibkan.
“Ini semua perkembangan sangat kurang sihat. Pihak PDRM diminta bertindak tegas dalam dua laporan polis ini. Masyarakat juga perlu sedar bagaimana pejabat Anwar boleh menipu demi melindungi pihak berkepentingan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette