PETALING JAYA – Mayat seorang wanita yang dibungkus dalam selimut dan diletakkan dalam timbunan bantal ditemukan di sebuah pangsapuri di Prima Damansara di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, mayat Nor Hidayah Ahmad ditemui bapanya yang datang ke rumah itu kira-kira jam 5.30 petang.
“Apabila masuk ke dalam rumah, bapa mangsa terhidu bau yang busuk datang dari salah sebuah bilik sebelum menemui mayat anaknya itu.
“Pemeriksaan polis mendapati wanita itu diletakkan dalam timbunan bantal dan dibungkus dengan selimut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa berusia 30 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.
Polis juga tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian dan punca kematian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Mohd Zani berkata, pihaknya sedang mengesan bekas suami mangsa yang dikenali sebagai Zulkifli Joned, 40, bagi membantu siasatan.
“Mangsa dipercayai bercerai dengan Zulkifli sejak dua bulan lalu dan tinggal di rumah itu dengan anaknya yang berusia enam tahun,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Bernama