Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan ucapan takziah kepada negara jiran, Indonesia atas pemergian Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie petang tadi.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Dr Mahathir berkata kematian Presiden ketiga Indonesia itu adalah kehilangan besar buat republik itu.

“Takziah kepada keluarga serta seluruh warga Indonesia di atas pulangnya ke rahmatullah Bapak BJ Habibie.

“Sesungguhnya pemergiannya satu kehilangan besar. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Rohnya. Al Fatihah,” ucap Dr Mahathir.

BJ Habibie, meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Menurut anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan, bekas presiden itu meninggal dunia jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lepas.

BJ Habibie menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Dr Mahathir ketika itu masih memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat.

Pada Mac 2018, BJ Habibie menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast