PUTRAJAYA – Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menarik balik kenyataan menggelarkan UMNO sebagai kafir.
Kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, ia akan dijadikan senjata akhir Pas sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak berjaya sebagaimana yang dilakukan terhadap DAP sebelum ini.
“Saya yakin Hadi tidak akan tarik balik amanat itu sebab itu azimat kepada Pas.
“Itu kitab azimat yang mereka simpan (untuk digunakan) waktu nak berpisah nanti.
“Hari ini mereka nak bersama dan berkerjasama dan esok bila nak berpisah, kitab azimat itu yang akan mereka buka kembali,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Dokumen Pengembangan Perikanan di kementeriannya, hari ini.
Salahuddin diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Hadi perlu menarik balik kenyataan UMNO parti kafir terlebih dahulu sebelum kedua-dua parti memuktamadkan kerjasama mereka melalui pemeteraian satu piagam pada Sabtu ini.
Presiden Pas itu, menurut Dr Mahathir masih belum menarik balik secara rasmi kenyataan itu bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan UMNO.
Salahuddin menambah pada tahun 2015, Pas mengambil pendirian untuk tidak lagi bekerjasama dengan DAP atas hubungan tahaluf siyasi sebelum ini.
Katanya, perkara sama akan berulang kepada UMNO kerana perkara itu tidak pernah ‘dibuang’ oleh Pas.
“Tahun 2008, saya adalah Naib Presiden Pas ketika itu. Segala hujah yang mereka ada pada ketika itu menyatakan kita boleh mengadakan kerjasama dengan DAP.
“Kita pun menjalinkan hubungan dengan DAP ketika itu. Tapi malangnya pada 2015, mereka merasakan DAP perlu dikeluarkan daripada Pakatan Rakyat (ketika itu) atau mereka nak berpisah, mereka juga ada hujah.
“Sekarang mereka kata mesra dengan UMNO, mereka merasakan ada keperluan untuk berkawan dengan UMNO, tapi tunggulah sebab kitab azimat itu mereka tidak tarik balik. Jadi bila mereka nak berkelahi dengan UMNO, atau nak berpisah dengan UMNO tunggulah kitab itu akan keluar balik,” katanya lagi.
Hadi pada Mei lalu berkata dirinya tidak pernah mengkafirkan umat Islam lain tetapi sebaliknya mendakwa ini dilakukan oleh ahli partinya yang melompat menyertai UMNO.
Katanya, Pas tidak berhak berbuat demikian kerana itu bukan ajaran Islam yang sebenarnya.
“Kita ajak dan beritahu orang Islam, kita mesti percaya pada Islam. Dia kata kita mengkafirkan orang, bukan kerja kita mengkafirkan orang.
“Pas tidak mengkafirkan si anu dengan si anu, si anu dengan si anu. (Pas tak kata) UMNO kafir orang tu kafir, Pas tak kata begitu.
“Memang ada orang dalam Pas yang cakap begini, orang Pas yang cakap begini masuk UMNO belaka tak ada dalam Pas. Yang cakap keras-keras tu pergi ke Umno. Kerana dalam PAS kita ajar batas-batas iman dan kufur,” katanya tahun lalu.
Pas dan UMNO akan memeterai Piagam Muafakat Nasional pada 14 September ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)..
Program dua hari dengan kemuncaknya pada 14 September itu bakal menyaksikan kedua-dua parti akan menandatangani piagam kerjasama UMNO dan Pas ke arah mengukuhkan blok pembangkang dengan hasrat menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam. -MalaysiaGazette
Takbir! ALLAHU AKBAR!