KUALA LUMPUR –  Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bersedia melaksanakan perkhidmatan pembekalan gas asli cecair (LNG) ke kapal komersial mulai 1 Januari, 2020, bagi menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembekalan.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas Ahmad Adly Alias berkata sebagai satu daripada pengeluar LNG utama dunia, syarikat gergasi minyak dan gas kebangsaan itu berada di kedudukan baik untuk membangunkan LNG lebih bersih sebagai bahan bakar pilihan untuk industri itu kerana ia mengeluarkan sifar sulfur semasa dibakar.

Ini akan memastikan LNG muncul sebagai pesaing kuat kepada pembekalan bahan bakar tradisional dan seterusnya mengukuhkan potensi pasarannya, katanya dan menurutnya perkongsian pasaran dalam ‘’bunkering’’ atau pembekalan LNG dijangka meningkat kepada tujuh peratus pada 2030 daripada kurang tiga peratus ketika ini.

“Dalam memanfaatkan kelebihan ini, kami telah melaksanakan inisiatif untuk memacu Malaysia sebagai hab pembekalan LNG dengan tumpuan, antara lain, membina infrastruktur perlu di Pengerang, Johor dan Sungai Udang, Melaka,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Perkapalan Hijau dengan kerjasama World Maritime Week Malaysia.

Bunkering merujuk kepada pembekalan bahan api untuk kegunaan kapal termasuk logistik pengisian bahan bakar ke kapal dan mengagihkannya dalam kalangan kapal tangki bunker yang ada.

Terma “bunkering” bermula pada zaman kapal wap, apabila bahan bakar, arang batu disimpan dalam bunker.

Ahmad Adly turut mengambil perhatian bahawa Petronas sedang menaik taraf terminal regasifikasi di Sungai Udang untuk membolehkan kemudahan itu melaksanakan pengisian semula LNG pada suku pertama 2020, sekaligus menubuhkan hab pembekalan LNG keduanya.

Memetik Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan, beliau berkata dianggarkan bahawa daripada perdagangan global bernilai US$20 trilion, 85 peratus disumbangkan oleh industri perkapalan.

“Dengan perkembangan itu, ini telah menyebabkan pencemaran berbahaya yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap alam sekitar menerusi pengeluaran asap rumah hijau sebanyak 846 juta tan karbon dioksida dan 5.3 juta tan sulfur oksida.

“Dalam menangani isu ini, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah memperakukan pengeluaran sulfur global dalam Lampiran VI Pencemaran Marin, di mana had sulfur dalam bahan bakar marin akan dihadkan kepada 0.5 peratus daripada 3.5 peratus kandungan jisim sulfur sedia ada berkuat kuasa 1 Jan, 2020,” jelasnya.

Sehubungan itu, Petronas, katanya telah mula beralih kepada bahan bakar lebih bersih sejak 2017.

Syarikat minyak dan gas kebangsaan itu telah mula memastikan kesemua 22 kapal LNG miliknya untuk menggunakan bahan bakar patuh menerusi program pembekalan bahan bakar patuh.

Dalam mematuhi peraturan IMO 2020, Petronas bekerjasama dengan pelbagai kementerian, pihak berkuasa, penggiat industri untuk bersama-sama membangunkan dasar, garis panduan dan prosedur yang amat diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan operasi pembekalan.

“Sokongan kerajaan amat penting ketika Malaysia berusaha merealisasikan aspirasi untuk menjadi hab pembekalan.

“Ini dapat dilihat menerusi penyediaan pelbagai insentif atau bantuan kewangan kepada industri itu serta dasar kondusif untuk mempercepat penggunaan LNG sebagai bahan bakar marin lebih bersih dan merangsang pertumbuhan mampan,” katanya. – MalaysiaGazette