Teresa Kok

KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama menyatakan rasa terkilan dengan kenyataan pihak berkuasa Indonesia yang menyita tanah milik empat syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia ekoran kebakaran terbuka.

Menterinya, Teresa Kok berkata, hasil rekod menunjukkan empat syarikat berkenaan adalah antara syarikat terkemukai di rantau ini dan mengamalkan amalan penanaman lestari dan disahkan menerusi gabungan sistem pensijilan yang diiktiraf peringkat antarabangsa.

“Mereka yang akrab dengan industri ini akan menerima hakikat bahawa tindakan tuduhan pembakaran terbuka ini akan mengakibatkan pemberhentian status pensijilan mereka bukan sahaja di Indonesia tetapi sepanjang operasi mereka termasuk di Malaysia.

“Tindakan sedemikan rupa akan menjadi tidak produktif untuk perniagaan mereka.

“Saya tidak dapat memberi ulasan sepenuhnya mengenai penyiasatan dan laporan oleh kerajaan Indonesia ini sehingga pegawai kementerian saya mempunyai akses penuh terhadap laporan penyiasatan itu,” katanya dalam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan dari Vietnam hari ini.

Bagaimanapun beliau telah mendapatkan penjelasan empat syarikat gergasi kelapa sawit tempatan berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya setelah mendapatkan penjelasan empat syarikat gergasi berkenaan, beliau ingin menyatakan mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk meperbetulkan dakwaan tidak berasas itu dan menanganinya.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, tindakan berkenaan diperlukan kerana beliau bimbang tuduhan itu akan terus menjadi bahan kecaman aktivis dan puak anti sawit iaitu Eropah.

“Ia sekaligus akan membawa kerugian kepada Malaysia dan Indonesia yang merupakan pengeluar utama minya sawit di dunia ini.

“Saya akan bercakap dengan rakan sejawatan saya di Indonesia dan cuba menyelesaikan perkara ini dengan pantas,” tegasnya lagi.

Hari ini, Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar berkata, Malaysia tidak mendapat gambaran sebenar mengenai kebakaran yang menjejaskan Sumatera dan Borneo sejak lebih sebulan lalu.

Sekurang-kurangnya empat syarikat ladang sawit yang tanahnya telah disita kerana kebakaran merupakan anak syarikat Malaysia.

Indonesia juga menyalahkan syarikat dari Malaysia termasuk pengeluar minyak sawit terbesar di dunia sebagai punca kebakaran hutan di negara itu yang membawa kepada keadaan berjerebu di rantau ini.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.