Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Penyatuan antara Pas dan UMNO mungkin akan diuji oleh Allah bagi menunjukkan keikhlasan dalam usaha menyatukan umat Islam.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khairuddin, Allah akan sentiasa menguji dalam setiap detik, setiap waktu dan setiap masa.

Justeru katanya, adalah penting untuk kedua-dua parti memasang niat yang suci agar perjalanan menegak syiar Islam dapat direncanakan.

“Sebab itulah perkara asas yang perlu ada dalam penyatuan ini ia perlu adanya keikhlasan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi townhall anak-anak muda, sempena Himpunan Penyatuan Ummah Pas-UMNO hari ini.

Khairil berkata, perjuangan yang hendak dilakukan perlu berteraskan agama dengan mengikut lunas-lunas Islam.

Katanya, penyatuan kedua-dua parti tersebut adalah sebagai langkah memasuki Putrajaya secara terhormat sebagaimana Pakatan Harapan menakluki pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu selepas memenangi PRU-14.

“Kalau kita menganggap penyatuan ini akan menyebabkan kita memenangi PRU-15 barangkali kita melangkaui kuasa Allah S.W.T. Kita bukan tuhan.

“Tetapi oleh kerana kita bersatu untuk menegakkan agama Islam dengan kerangka demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan dan fardu ain dalam keadaan sekarang, maka pastinya kita bersatu dalam gagasan ini dengan berteraskan agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette