Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia pada Julai 2019 meningkat 63.3 peratus berbanding bulan sebelumnya iaitu 36,796 tan metrik kepada 60,088 tan metrik.

Perbandingan tahun ke tahun pula menunjukkan pengeluaran meningkat 6.4 peratus berbanding Julai 2018.

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 67,273 tan metrik, meningkat sebanyak 23.3 peratus berbanding 54,547 tan metrik pada Jun 2019.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, China mengekalkan kedudukan sebagai destinasi utama eksport getah asli sebanyak 60.3 peratus daripada jumlah eksport pada Julai 2019 diikuti Jerman (7.9%), Amerika Syarikat (4.1%), Finland (4.0%) dan Iran (2.7%).

Stok getah asli yang direkodkan pada Julai 2019 ialah 182,358 tan metrik berbanding 165,636 tan metrik pada Jun 2019 dengan peningkatan 10.1 peratus.

Harga purata Lateks Pekat ialah 476.23 sen sekilogram pada Julai 2019, menurun 4.1 peratus. Harga purata Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M.20) turut mengalami penurunan sebanyak 6.9 peratus kepada 580.82 sen sekilogram berbanding Jun 2019.

Jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 41,959 tan metrik, peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding 38,787 tan metrik yang dilaporkan pada Jun 2019.

Getah asli banyak digunakan dalam industri pembuatan sarung tangan getah iaitu sebanyak 31,089 tan metrik atau 74.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik, ujarnya. – MalaysiaGazette