Dalang utama sindiket pemalsuan pasport warga asing yang bersembunyi disebalik nama Mama Bangla berjaya dicekup Imigresen semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda warga Bangladesh yang menjadi dalang sindiket pemalsuan pasport dan pas pekerja warga asing berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen dalam satu operasi di tiga lokasi berlainan di ibu negara semalam.

Suspek berusia 25 tahun yang selama ini kebal dengan aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang dengan berselindung disebalik nama samaran Mama Bangla sejak tahun 2017 akhirnya dicekup.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi serbuan diadakan bagi membongkar dan menumpaskan sindiket berkenaan bermula  pukul 11 pagi  melibatkan seramai 15 pegawai dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa Putrajaya.

Menurut beliau, hasil serbuan pertama di Brickfields, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun dan menjumpai satu sampul surat yang berisi empat naskhah pasport Bangladesh, enam keping pelekat PL(KS) dan enam keping i-Kad.

“Kesemua dokumen tersebut dipercayai adalah palsu dan hasil soal siasat awal terhadap suspek telah mendedahkan dalang sebenar yang mengetuai sindiket itu iaitu seorang lelaki warga negara Bangladesh yang lebih dikenali sebagai ‘Mama Bangla’ (subjek kedua) berusia 25 tahun.

‘Mama Bangla’ mengenakan bayaran sebanyak RM200 untuk senaskhah pasport palsu, RM200 untuk sekeping
pelekat PL(KS) palsu dan RM50 untuk i-Kad dan Kad CIDB palsu.

“Hasil maklumat tersebut, pasukan serbuan telah mengatur satu gerakan untuk mengumpan ‘Mama Bangla’ keluar, satu pertemuan diadakan di sekitar Jalan Munshi sebelum berjaya membawa kepada penangkapan ‘Mama Bangla,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semasa ditahan, pihaknya telah menjumpai dua naskah pasport Bangladesh bersamanya.

Menurut beliau, hasil soal siasat, ‘Mama Bangla’ telah membawa pasukan serbuan ke lokasi ketiga iaitu di sebuah kondominium di Jalan Putramas di sini sebelum hasil pengeledahan menjumpai 17 naskah pasport warganegara asing, enam keping pelekat pas lawatan kerja sementara yang dipercayai palsu.

“Turut dijumpai peralatan-peralatan untuk membuat dokumen palsu seperti komputer, mesin pencetak, alat pengimbas dan sebagainya,” ujarnya.

Suspek pertama ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport bukan miliknya, dan di bawah seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan dokumen yang
dipalsukan.

Suspek pertama juga didakwa di bawah Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama kerana bersubahat. Suspek kedua ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan kesalahan di bawah Seksyen 55D kerana memalsukan dokumen dan kedua dua mereka ditahan di DepotTahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Jabatan Imigresen Malaysia amat memandang serius perkara ini kerana boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara dan akan terus memburu sindiket atau individu yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast