KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua ahli UMNO sudah melupakan Amanat Haji Hadi yang menggelarkan parti itu kafir.
Di hadapan lebih 8,000 penonton di Himpunan Penyatuan Ummah beliau berkata, perkara itu telah dilupakan pada saat UMNO sudah bersama Pas.
“UMNO sudah lupa apa Amanat Hadi, apabila kita pilih Pas dan bersetuju untuk tandatangani piagam, kita tidak fikir apa yang di belakang.
“Saya harap jangan terpengaruh agenda jahat dengan kerajaan PH,” katanya yang berucap mewakili UMNO malam ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Jelas Ismail Sabri lagi, Pakatan Harapan (PH) akan terus meracuni ahli kedua-dua parti itu agar melihat kerjasama gagal.
“Mereka akan terus meracun pemilikan kita dan saya harap kita tidak termakan dengan kata-kata mereka,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar kerjasama sedia ada terus kukuh bagi kedua-dua parti bagi mendepani PH pada PRU-15 kelak.
“Saya harap hubungan kita selama-lamanya untuk pertahankan agama, bangsa dan negara. Kita teruskan kerjasama kita selamanya,” ujarnya.
Esok, kedua-dua parti akan memeterai perjanjian kerjasama yang akan ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam blok pembangkang. – MalaysiaGazette