Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melahirkan rasa ‘keliru’ dan bingung bagaimana UMNO dan Pas kini menjalinkan kerjasama.

Ini kerana kata Dr Mahathir, UMNO disifatkan sebagai ‘kafir’ oleh Pas tetapi kini boleh menjalinkan kerjasama tersebut tanpa menimbulkan apa-apa isu sehingga menyebabkan beliau tidak ‘faham’ sama sekali.

“Terpulanglah kepada mereka (Pas-UMNO) untuk mengatakan jalinan kerjasama ini tidak berkaitan dengan agama atau perkauman. Jika dilakukan juga, ianya tidak baik.

“Tetapi apa yang saya tidak boleh faham sehingga saat ini, bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas? Ini kerana UMNO itu ‘kafir’.

“Bagaimana pula boleh bekerjasama? Saya tidak faham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ‘The Putrajaya Boat Race 2019’ di Kelab Tasik Putrajaya sebentar tadi.

Sebelum ini Tun Mahathir meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bahawa UMNO kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai piagam, Sabtu lepas.

Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, jika Pas tidak menarik balik ‘gelaran’ itu maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang pernah dikatakan kafir dahulu.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir juga melihat kerjasama di antara kedua-dua parti yang pernah bermusuh sejak sekian lama itu tidak memberikan sebarang makna. –MalaysiaGazette