Isham Jalil
Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak mengkritik kaedah diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hendak memulihkan ekonomi negara dengan menjual rumah kepada rakyat asing.

Isham Jalil berkata, beliau tidak tahu di mana menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin belajar mengenai ekonomi apabila menyatakan dasar dan kempen kerajaan menjual rumah kepada kepada warga China dan Hong Kong akan membantu memulihkan ekonomi negara.

“Jual rumah bukan macam jual buah, YB. Hal jual rumah ini bukan boleh kita buat asal boleh habiskan stok sahaja, kerana tanah adalah terhad,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Beliau menjelaskan, terdapat dua kesan utama dasar menteri berkenaan, iaitu pertama, apabila kerajaan berkempen dan membuka untuk menjual rumah kos sederhana dan tinggi kepada warga asing, ini akan meningkatkan harga rumah di Malaysia untuk penduduk tempatan.

Katanya, rumah sedia ada pun sudah mahal dan tidak mampu untuk dibeli oleh rakyat tempatan sebab itu banyak tidak terjual.

“Dengan dasar baharu Zuraida ini, harga rumah baru yang dibina akan menjadi lebih mahal sebab pemaju tahu jika mereka tidak boleh jual kepada rakyat tempatan, kerajaan akan benarkan pemaju jual kepada rakyat asing yang lebih berkemampuan.

“Warga asing membeli rumah di luar negara seperti Malaysia tentunya orang kaya, dan dengan nilai ringgit yang rendah sekarang serta tukaran mata wang asing menyebelahinya, tentu mereka lebih mampu membeli, lantas menaikkan lagi harga rumah di sini.

“Apabila harga rumah naik, harga premis perniagaan juga akan naik. Sebab premis perniagaan ini dibina pemaju sama sekitar kawasan perumahan yang dimajukan oleh mereka,” katanya.

Oleh itu, menurut Isham, harga premis perniagaan akan mengikut harga rumah yang ditentukan oleh mereka.

Kata beliau, apabila harga premis perniagaan naik, harga barang juga akan turut naik dan menambahkan lagi beban kos sara hidup rakyat.

Kedua, jelas Isham, dasar menteri itu akan menggalakkan lagi pemaju membina perumahan kos tinggi atau sederhana tinggi, namun tidak mempedulikan perumahan kos rendah untuk rakyat.

“Akibatnya kebanyakan rakyat berpendapatan rendah tidak akan mampu membeli, apatah lagi untuk mempunyai rumah sendiri. Ini akan menambah terukkan lagi keadaan rumah “mampu tengok” di Malaysia.

“Sejak bertahun lepas saya selalu bawa isu perumahan ini terutama di Selangor. Apabila kerajaan PH mengambil alih negeri ini pada 2008, mereka telah menaikkan cukai dan premium tanah untuk pembangunan.

“Untuk meningkatkan hasil, Selangor lebih berminat meluluskan projek perumahan kos tinggi dan sederhana tinggi kerana akan membolehkan kerajaan negeri mengutip lebih banyak hasil dari cukai dan premium tanah,” ujarnya.

Beliau berkata, nasib baik ketika itu kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) di pimpinan Najib yang melaksanakan dasar perumahan kos rendah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Namun, jelas Isham lagi, tidak banyak projek PR1MA di Selangor kerana kerajaan negeri ketika itu tidak berminat memajukan perumahan kos rendah. – MalaysiaGazette