KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), malahan menetapkan kadar kutipan pada empat peratus.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, perkara itu merupakan salah satu cadangan FMM kepada Kementerian Kewangan sempena dengan pembentangan Belanjawan 2025.
Beliau berkata, kerajaan wajar mempertimbangkan GST 2.0 semasa menilai sistem percukaian negara secara komprehensif.
“Tetapi, kerajaan harus memberi perhatian kepada kebajikan pengguna dan perusahaan. Oleh itu, kami cadangkan kadar kutipan dikurangkan kepada empat peratus,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, FMM juga mencadangkan nilai ambang kutipan ditetapkan pada RM500,000 seperti dahulu dan pihak berkuasa harus berusaha mengelakkan kelewatan pulangan cukai.
Thian Lai berkata, semasa melaksanakan GST 2.0, kerajaan juga harus menyediakan mekanisme pemantauan yang sesuai bagi mengelakkan pencatutan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan FMM lain adalah penubuhan akademi kecerdasan pintar (AI), menggalakkan penyediaan taska di tempat pekerjaan dan pelaksanaan cukai barang bernilai tinggi secara berperingkat.
Beliau berharap Belanjawan 2025 dapat meningkatkan lagi daya saing sektor pembuatan dengan mengambil kira sumbangan sektor itu kepada keluaran dalam negara kasar dan peluang pekerjaan yang ditawarkan.
Jelasnya, daya saing sektor pembuatan boleh dipertingkatkan melalui pendigitalan, integrasi pasaran, inovasi dan pembangunan sumber manusia, sokongan kepada sasaran pelepasan karbon sifar bersih dan agenda pembangunan mampan, serta memastikan ekosistem niaga yang baik. – MalaysiaGazette