Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Pelancaran Kerangka Dasar Luar Malaysia Baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat tempatan yang beroperasi di luar negara hingga menyebabkan punca fenomena jerebu melanda negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedia menggubal undang-undang yang akan menjadikan syarikat itu bertanggungjawab terhadap pembakaran terbuka walaupun beroperasi di luar Malaysia.

“Syarikat-syarikat tempatan yang memiliki ladang ladang di luar negara yang menyumbang ke arah jerebu kerana pembakaran di ladang mereka, kerajaan akan meminta mereka mengambil tindakan untuk memadamkan kebakaran.

“Tetapi sudah tentu kita mendapati mereka tidak mahu mengambil tindakan dan kerajaan mungkin meluluskan undang-undang yang akan menjadikan mereka bertanggungjawab terhadap pembakaran di dalam kawasan mereka walaupun di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar Malaysia Baharu di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Mahathir diminta mengulas fenomena jerebu yang semakin teruk melanda beberapa kawasan di negara ini yang disebabkan pembakaran terbuka oleh syarikat tempatan yang beroperasi di Indonesia.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, negara jiran itu berhak menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terbukti melanggar undang-undang termasuk menyebabkan kebakaran hutan.

Ia berikutan penyitaan tanah milik anak syarikat kepada empat syarikat perladangan kelapa sawit milik Malaysia di Indonesia, yang didakwa sebagai punca kebakaran hutan sekali gus menyebabkan jerebu di rantau ini.

Empat syarikat berkenaan adalah IOI Corporation, Sime Darby Plantation Bhd. P, TDM Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd. – MalaysiaGazette