Kelihatan penduduk meninjau keadaan rumah mereka yang telah dirobohkan oleh Kerajaan Selangor di Paya Jaras Hilir, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 SEPTEMBER 2019

SUNGAI BULOH – Penduduk-penduduk yang terlibat dengan perobohan rumah di Kampung Paya Jaras Hilir, di sini kesal dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan mereka yang didakwa tidak menunaikan janji sebagaimana dilafazkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Mereka berasa tertipu dan menjadi mangsa politik hingga akhirnya merugikan diri sendiri selepas termakan kata-kata nista ADUN berkenaan, Mohd Khairuddin Othman berhubung pemberian Rumah Selangorku.

Malah, penduduk-penduduk terbabit tidak menyangka projek pelebaran sungai yang melibatkan penempatan di tanah rizab yang dijadikan tempat tinggal mereka akan dilaksanakan terlalu awal sebelum mereka mempunyai alternatif lain untuk berpindah dari situ.

Seorang penduduk, Siti Rohaya Ahad, 50, berkata, dia berasa sangat sedih kerana perobohan tempat berteduhnya dilakukan ketika dua orang anaknya sedang menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

Siti Rohaya Ahad

Katanya, apa yang dialami itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan Selangor telah menganiayai dirinya lebih-lebih lagi notis perobohan diberi dalam tempoh yang singkat.

Tambah beliau, meskipun surat rayuan telah dihantar ke beberapa pihak termasuk pejabat ADUN, namun, tindakan ‘tidak sabar’ untuk meroboh itu tetap dilakukan.

“Pada asalnya mereka kata pemilik rumah yang mempunyai anak sedang menduduki peperiksaan dikecualikan daripada diroboh.

“Tapi akhirnya diroboh juga tanpa notis yang sepatutnya dan tarikh tetap kerja perobohan hendak dijalankan. Kita pun dah hantar surat rayuan, paling tidak pun akhir tahunlah, tapi semalam mereka dah roboh,” katanya ketika ditemui di khemah penempatan sementara di sini, hari ini.

Dalam pada itu Siti Rohaya mengingatkan Mohd Khairuddin supaya memandang kebajikan penduduk-penduduk yang terlibat dengan perobohan tersebut.

Katanya, mereka semua merupakan warga Malaysia dan bukannya orang asing serta mempunyai hak sebagai pengundi di kawasan itu.

“Kami minta keadilan sewajarnya dengan apa yang ditawarkan Rumah Selangorku yang dikatakan kita akan dapat.

“Buktikan pada kita dengan kelulusan yang dia kata tiada tapisan sehingga kita dapat Rumah Selangorku. Rumah kita nak roboh-robohlah selepas itu. Pandanglah kami, semasa PRU janjikan macam-macam,” ujarnya yang telah menetap disitu sejak 23 tahun lalu.

Katanya lagi, penduduk di situ tidak membantah sekiranya kerajaan hendak mengambil tanah bagi melaksanakan sebarang projek, tetapi janganlah sampai hak mereka untuk mendapat kediaman yang dijanji cuba untuk dinafikan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Daud Che Hod, 60, mempersoal sifat perikemanusiaan kerajaan Selangor berhubung nasib mereka yang terlibat dengan perobohan tersebut.

Daud Che Hod

Katanya, dia sangat berdukacita dengan apa yang dialami dengan menyifatkan seolah-olah tiada pembelaan buat dirinya sekeluarga ditanah air sendiri.

Beliau mendakwa, meskipun mempunyai geran tanah yang sah dengan pajakan selama 99 tahun, namun, haknya ditidakkan apabila perobohan itu tetap berlaku.

“Mengapa cepat sangat demikian bertindak, di mana sifat perikemanusiaan, itik ada kandang untuk dibela tapi manusia, kalau ada sifat kemanusiaan tidak akan berlaku macam ini,” ujarnya dalam nada hiba. – MalaysiaGazette

Roboh rumah: Mana sikap kemanusiaan Kerajaan Negeri Selangor?

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast