SUNGAI BULOH – Pas Selangor tidak pernah untuk mengambil kredit politik apabila menjadi pihak paling awal menghulurkan bantuan kepada 92 keluarga dalam isu perobohan rumah di Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir di sini sejak Rabu lalu.
Menurut Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan, dalam soal kemanusiaan, pihaknya membantu tanpa mengira parti politik meskipun penduduk tidak mengundi parti itu dalam pilihan raya lalu.
“Dalam hal ini bukan kelebihan politik, dalam hal ini tanggungjawab kita dalam perihal kemanusiaan untuk menjaga sesiapa saja tanpa mengira latar belakang politik.
“Kita yakin yang terlibat ini (mangsa) bukan mengundi Pas pun, tapi kita tak membiarkan mereka macam itu saja.
“Tapi kita ambil peluang ini atas dasar nak jaga kebajikan, keperimanusiaan kita supaya mereka juga terbela,” katanya pada sidang media di penempatan sementara berhampiran Sungai Kedondong, di sini, hari ini.
Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan.
Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.
Notis penangguhan perobohan terakhir diberikan pada 4 September lalu oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah bersama Adun, serta pejabat tanah wakil daripada Menteri Besar Selangor.
Wan Hasrina juga bertanyakan ke mana perginya pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih tidak turun padang.
“Mana perasaan kemanusiaan pemimpin, sampai hari ini masuk hari ketiga, tidak nampak langsung muka, batang hidung pemimpin-pemimpin.
“Mana menteri KPKT yang sepatutnya bertanggungjawab, mana ADUN Paya Jaras, mana Ahli Parlimen Sungai Buloh ini?” soalnya.
Wan Hasrina turut mendakwa keengganan pemimpin PH turun penempatan sementara yang disediakan Pas membuktikan rakyat hanya diperlukan pada musim pilihan raya.
“Mereka sebelum ini datang jumpa penduduk rayu undi semasa pilihan raya tapi bila dapat pangkat, dapat jawatan, kedudukan mereka, rakyat ditinggalkan, tiada pembelaan.
“Saya sedih tengok suasana ini dan bagaimana kerajaan pada hari ini nak bela rakyat kalau 92 keluarga.
“Komuniti kecil ini pun mereka tidak dapat uruskan macam mana mereka nak uruskan negeri dan negara. Saya berharap rakyat buka mata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette