Jabatan Agama Islam Selangor
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyifatkan dakwaan Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA) berkaitan isu ketirisan dan salah guna kuasa pengurusan baharu masjid berkenaan sebagai tidak berasas.

Menurut kenyatan media Unit Korporat JAIS hari ini, isu ketirisan kewangan MJSAA tidak timbul kerana pihak masjid itu telah melantik firma juruaudit untuk menyediakan penyata kewangan setiap tahun.

“Telahan dan kenyataan yang dilontarkan oleh Pengerusi Gagasan bertindak MJSAA berkaitan isu ketirisan dan salah guna kuasa adalah tidak tepat dan bersifat tuduhan semata-mata.

“Pihak pengurusan masjid telah melantik firma juruaudit bertauliah untuk menyediakan penyata kewangan tahunan bagi masjid berkenaan.

“Penyata kewangan beraudit telah disediakan bagi tahun 2015, 2016 dan 2017. Manakala penyata kewangan bagi tahun 2018 sedang diaudit oleh firma audit berkenaan,” kata.

Gagasan Bertindak MJSAA
Pengerusi Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Datuk Manan Amirserta yang lain menunjukkan kenyataan media pada sidang media mengenai bantahan ketirisan dan salahguna kuasa AJK Masjid yg tiada tindakan dari JAIS di Koperasi Melayu Petaling Berhad, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2019

Terdahulu Pengerusi Gagasan Bertindak MJSAA, Datuk Ir Manan Amir tidak menolak kemungkinan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pengurusan kewangan masjid itu yang mencurigakan.

Menurut Manan, sejak JAIS mengambil alih MTSAA pada Januari 2016, pengurusan baharu itu gagal mempamerkan laporan kewangan terkini masjid itu kepada jemaah kariah terbabit.

JAIS turut menjelaskan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tidak perlu dilakukan setiap tahun susulan pengurusan masjid itu kini menggunakan sistem Jawatankuasa Pengurusan Masjid diketuai oleh seorang pengurus masjid.

“Ia bagi menggantikan sistem terdahulu iaitu Jawatankuasa Kariah Masjid yang diketuai oleh seorang Nazir.

“Sistem ini dilaksanakan oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) setelah mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya kenyataan itu.

JAIS turut mengesahkan bahawa MTSAA merupakan masjid yang dinaik taraf oleh MAIS mulai 1 Januari 2016.

Dalam pada itu, JAIS berkata, semua isu penggantian dan baik pulih kelengkapan alat penghawa dingin dan alat pembesar suara telah diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Tadbir Masjid berkenaan.

“Proses perolehan dibuat secara sebut harga dan dinilai oleh jawatankuasa sebutharga.

“Aspek ketelusan sangat dititikberatkan oleh pihak pengurusan MJSAA dalam membuat keputusan tersebut,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette