Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – “Silalah anjur segera. Jangan cakap sahaja. Saya bersedia untuk hadir,” demikian tegas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau menyatakan demikian sebagai menyahut cabaran Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk menjadi tuan rumah persidangan meja bulat bagi memerangi berita palsu dan ucapan kebencian jika pembangkang berminat untuk hadir.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, cabaran Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kedengaran sangat kelakar.

“Kit Siang nak anjurkan sidang meja bulat perang berita palsu? Cabar pembangkang untuk hadir? Kelakar bunyinya. Tidakkah DAP yang bersungguh menghapuskan Akta Berita Palsu yang disokong penuh oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas?

“Tidakkah DAP antara yang banyak menyebarkan berita palsu dalam sesi pilihan raya umum yang lalu? Usahlah berlagak baik wahai Kit Siang. Silalah anjur segera. Jangan cakap sahaja. Saya bersedia untuk hadir,” katanya yang dipetik menerusi status akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, Kit Siang menyatakan kesanggupannya menjadi tuan rumah persidangan meja bulat bagi memerangi berita palsu dan ucapan kebencian jika pembangkang berminat untuk hadir.

Beliau mengumumkan jemputan itu ketika berucap dalam satu majlis di Sibu Sarawak.

“Saya ingin lontarkan cabaran kepada semua parti politik sama ada dalam kerajaan mahukan swasta, di peringkat negeri dan pusat untuk bersatu menentang berita palsu dan ucapan kebencian.

“Adakah parti pembangkang bersedia menghadiri persidangan meja bulat memerangi berita palsu dan ucapan kebencian?,” soal Kit Siang. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apek tua itu takut sebab dia mulakan fitnah. Dia tahu fitnah itu boleh menjahanamkan parti dia macam mana dia buat pada Najib. Sebab itu dia nak adakan meja bulat. Supaya rakyat yang kurang pemikiran sokong dengan idea apek tua itu. Hendak menunjukkan kebenaran konon. Orang kurang siuman saja yang sokong parti apek tua ini.

Comments are closed.