Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Paya Jaras yang kediaman mereka dirobohkan boleh membuat permohonan untuk memiliki rumah.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin, kementerian boleh membantu sekiranya ada permohonan daripada penduduk kawasan berkenaan.

“KPKT boleh cuba membantu sekiranya mereka hendak membuat permohonan perumahan.

“Mereka boleh datang ke KPKT dan kemuka nama dan isu borang dan kita tengok mana yang sesuai. Saya alu-alukan untuk mereka membuat permohonan,” katanya ketika ditemui media selepas program pra pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC), di Stesen KL Sentral, hari ini.

Zuraida berkata demikan ketika ditanya samada pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu membantu penduduk yang kini hidup di dalam khemah sejak rumah mereka dirobohkan 18 September lalu.

Zuraida berkata kementerian tidak boleh membantu untuk mendirikan penempatan sementara kerana ia adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

“Itu adalah di bawah kerajaan negeri (untuk sediakan penempatan sementara) sebab mereka ada majlis Perumahan dan KPKT tidak ada begitu.

“Rumah sudah siap kita serahkan kepada kerajaan negeri. Itu agak sukar untuk kita berikan penempatan sementara,” katanya lagi.

Minggu lalu, media melaporkan 82 struktur kediaman haram di atas tanah rizab di pinggir Sungai Kedondong telah dirobohkan bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.

Menurut Ahli Dewan Undangan (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, projek itu sepatutnya dimulakan pada Disember 2015 dan siap pada Mei 2017, dan kelewatan menyebabkan penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu terpaksa mengharungi masalah banjir.

Katanya, projek itu diberi lanjutan masa dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan dari 26 Julai 2018 hingga 18 September lepas. -MalaysiaGazette