SUNGAI BULOH – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir di sini selepas kediaman yang dihuni oleh mereka dirobohkan menggunakan jentolak.
Para penduduk yang kehilangan tempat berteduh dilihat berlindung di bawah khemah yang didirikan di sebuah kawasan lapang dan masih meneruskan aktiviti harian mereka walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna.
Kanak-kanak pula masih bersemangat mengayuh basikal dan bermain walaupun kawasan tersebut dipenuhi runtuhan konkrit selain dilihat menjamu selera di tempat terbuka.
Menurut seorang penduduk, Muhamad Nasrul Ikhwan Nasir, 35, perasaannya bercampur baur selepas mendapat perkhabaran mengenai perobohan rumah tersebut.
“Pada hari pertama selepas rumah penduduk dirobohkan, keadaan menjadi sangat kelam-kabut.
“Apa pun kami tetap rasa syukur dan terharu dengan bantuan yang dihulur selepas hampir lima hari kehilangan tempat tinggal,” katanya ketika ditemui semalam.
Rabu lalu, lebih 30 buah rumah berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik Kerajaan Negeri Selangor dirobohkan bagi meneruskan projek meluaskan sungai di tepi kawasan perumahan terbabit untuk mengatasi masalah banjir kilat.
Projek meluaskan sungai tersebut sudah lama dijalankan namun terpaksa ditangguh beberapa kali susulan rayuan penduduk kampung.