KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata beliau tidak perlu melayan komen-komen sampingan daripada kepimpinan parti mengenai ketidakhadirannya dalam mesyuarat peringkat parti.
“Tidak payah sebut lagi, tidak payah jawab. Ini komen sampingan, saya tidak perlu jawab,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019 di KL Sentral.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri hari ini menasihati Naib Presiden parti itu agar hadir ke mesyuarat PKR.
“YB Zuraida, datang ke mesyuarat,” ujar Wan Azizah selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) di Universiti Putra Malaysia, hari ini.
Kemelut antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zuraida berlarutan sehingga kini apabila ahli Parlimen Ampang itu beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat parti dan menuntut diadakan pertemuan berasingan dengan Anwar.
Bagaimanapun, Presiden PKR itu enggan melayan tuntutanZuraida yang mahu mesyuarat diadakan antara Anwar dan ahli Majlis Pimpinan Pusat yang terpilih.
Anwar berkata, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang telah mereka pulaukan. -MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: