Datuk Manan Amir
Pengerusi Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Datuk Manan Amir bercakap pada sidang media mengenai bantahan ketirisan dan salahguna kuasa AJK Masjid yg tiada tindakan dari JAIS di Koperasi Melayu Petaling Berhad, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2019

PETALING JAYA – Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA) tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan masjid itu kerana laporan kewangannya yang mencurigakan sejak 2016.

Justeru, pengerusinya, Datuk Ir. Manan Amir berkata, pihaknya mungkin akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau mendakwa sejak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil alih MJSAA pada Januari 2016, pengurusan baharu itu dikatakan gagal mempamerkan laporan kewangan terkini masjid kepada ahli kariahnya.

“Berdasarkan garis panduan pentadbiran masjid yang dikeluarkan oleh pihak JAIS sendiri adalah menjadi pra syarat kepada semua masjid di Selangor untuk mempamerkan penyata kewangan setahun dua kali.

“Kali terakhir masjid kita ada penyata kewangan ialah pada tahun 2017. Sehingga ke hari ini, kita tidak mengetahui di mana status perbelanjaan kewangan?

“Kita kena ingat kewangan masjid ini adalah hasil daripada kutipan awam. Sewajarnya pihak awam berhak untuk mengetahui berapa duit masuk dan keluar serta apakah perbelanjaan yang digunapakai untuk masjid ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Taman Maju Jaya hari ini.

Pengerusi Gagasan Bertindak Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Datuk Manan Amirserta yang lain menunjukkan kenyataan media pada sidang media mengenai bantahan ketirisan dan salahguna kuasa AJK Masjid yg tiada tindakan dari JAIS di Koperasi Melayu Petaling Berhad, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 SEPTEMBER 2019

Dalam pada itu, seorang ahli kariah masjid itu, Khaleefur Rahman Ibrahim, 69, mendakwa, pengurusan MJSAA gagal menguruskan kewangan masjid dengan baik susulan wujudnya pelbagai keraguan termasuk perbelajaan meningkat sehingga 25 peratus pada tahun 2017.

“Sejak MJSAA diambil alih oleh JAIS, kebanyakan perbelajaannya meningkat 25 peratus. Pada saya itu gagal. Kalau di sektor swasta kenaikan kos sudah jadi isu besar,” katanya.

Dakwanya, kenaikan 25 peratus perbelanjaan masjid itu didakwa disebabkan oleh dua isu utama iaitu penyelenggaraan sistem penghawa dingin dan sistem bunyi masjid.

“Isu penghawa dingin ini, pada pemantauan saya, ia telah diberi kepada pihak yang bukan pakar untuk penyelenggaraan. Mereka main tangkap muat sahaja.

“Hasilnya, lapan unit compressor telah ditukar dalam tempoh dua tahun di mana harga seunit pada harga RM25,000 dan semuanya bernilai RM200,000.

“Bahkan tiga unit penghawa dingin daripada jumlah itu telah ditukar itu hanya boleh bertahan setahun saja. Bila saya tanya kenapa tiada jaminan, alasannya pihak kilang hanya beri tiga bulan jaminan sahaja,” dakwanya.

Dakwanya lagi, sistem bunyi antara salah satu sebab utama perbelanjaan meningkat sehingga 25 peratus membabitkan kos mencecah RM300,000 namun masih bermasalah.

“Sistem bunyi yang canggih tapi masih tidak berfungsi. Adakah kita mahu kenaikan perbelanjaan masjid hingga 50 peratus baru kita nak ambil tindakan?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette