Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff  Md. Yusof.

Notis pada 23 September 2019 memaklumkan perkara itu berikutan kembalinya ke rahmatullah penyandangnya, Allahyarham Datuk Wira Dr. Md Farid Md. Rafik
pada hari Sabtu lalu.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, oleh yang demikian, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi meneruskan tarikh bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada 1 Oktober 2019.

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting (PRK) seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain
yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PRK Tanjung Piai harus diadakan dalam masa 60 hari daripada tarikh kekosongan kerusi berkenaan bagi memilih Ahli Parlimen yang baharu selepas penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, awal pagi kelmarin akibat serangan penyakit jantung.

Md. Farid juga memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia  Bahagian Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dengan majoriti 524 undi. – MalaysiaGazette