Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari diberitahu mantan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merangkap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pernah murka sehingga bertindak menggantung penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion pada Mei 2009.

Itu kata saksi ke-9 perbicaraan kes berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang juga merupakan bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya ditukar nama kepada 1MDB.

Kata Shahrol, Sultan Mizan juga bertitah untuk menandatangani satu resolusi menggantung tugas dan kuasanya sebagai CEO TIA dan sesiapa sahaja yang menjalankan tugas-tugas CEO TIA.

Resolusi itu ditandatangani agar tidak ada sesiapa membuat apa-apa keputusan atau urusan berkaitan dengan program IMTN pada masa tersebut.

“Sekitar 22 Mei 2009, saya terima panggilan secara mengejut dari Istana Terengganu meminta saya dan Tan Sri Ismee menghadap Sultan Mizan dengan segera.

“Saya dan Tan Sri Ismee sebaik sampai ke Istana Terengganu, kami dibawa ke bilik mesyuarat baginda Tuanku Mizan dan adindanya, Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah (Pengarah TIA) juga datang.

“Baginda kemudian menunjukkan dokumen resolusi yang telah sedia ditandatangani oleh Tengku Rahimah dan menitahkan agar saya menandatanganinya.

“Seingat saya, baginda bertitah please sign this resolution, you can read it if you want. Saya tergamam dan dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dengan intonasi Tuanku Mizan yang nampak murka.

“Saya membaca cepat-cepat resolusi itu dan saya dapati ia melibatkan isu IMTN yang diarahkan untuk digantung dan terbitan IMTN ditangguhkan sehingga syarat-syarat yang tertera dalam resolusi ini telah dipatuhi.

“Saya sebenarnya terkejut kerana sebelum itu Jho Low memaklumkan kepada saya Tuanku Mizan tiada halangan untuk meneruskan terbitan IMTN ini. Kali pertama saya dengar pihak Tuanku Mizan meletakkan syarat terhadap terbitan IMTN ini.

“Jho Low sendiri sebagai penasihat dan fasilitator kepada Tuanku Mizan dan Najib tidak pernah memaklumkan syarat tersebut. Saya tidak tahu punca sebenar perbalahan antara pemegang amanah TIA pada masa itu,” katanya ketika membaca penyataan saksi hari ini.

Sambung Shahrol, Tengku Rahimah ada menggunakan perkataan unsavoury character (seseorang yang tidak disenangi).

“Tengku Rahimah ketika kami (beliau dan Ismee) berada di Istana Terengganu ada menggunakan frasa unsavoury character  tetapi saya tidak pasti frasa ini merujuk kepada siapa,” jelasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast