Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah ketika hadir pada perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 18 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pasukan peguambela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membantah kenyataan saksi, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang didakwa tidak mengikut ‘prinsip keadilan’ dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development (1MDB) hari ini.

Menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dakwaan yang mengaitkan anak guamnya dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kononnya mempunyai hubungan akrab tidak boleh digunapakai.

Ini kerana, katanya, Jho Low sendiri tidak ada dalam mahkamah bagi membuktikan kenyataan didedahkan oleh Shahrol yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB sebelum ini.

Muhammad Shafee merujuk kepada kenyataan ‘hubungan rapat Najib dan Jho Low’ sekitar tahun 2009 berdasarkan penyataan saksi Shahrol.

Katanya, ia patut ditolak dan tidak sepatutnya dibenarkan kerana pihaknya juga tidak dapat menyoal Jho Low tentang kesahihan dakwaan tersebut.

“Apa yang Shahrol dakwa itu tidak seharusnya dibenarkan kerana Jho Low tidak ada dalam mahkamah untuk kita soal dengan lebih lanjut. Prinsip-prinsip keadilan perlu dilaksanakan dan ditegakkan.

“Tetapi apabila melibatkan Jho Low, asas prinsip keadilan tidak ada di sini kerana saya tidak dapat menyoal Jho Low dengan apa yang saksi Shahrol katakan ini,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Tambah Muhammad Shafee lagi, sebelum ini saksi ke-8, bekas pegawai khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin sendiri membuat pengakuan tentang penyataan saksinya yang menyebut master manipulator itu sebenarnya hanya merujuk kepada Jho Low dan bukan Najib.

“Jadi bagaimana jika Jho Low menipu tentang hubungan antara dirinya dan Najib kepada Shahrol? Bagaimana kita boleh terima testimoni ini?

“Lagipun sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mendedahkan pihaknya sudah mengenalpasti kedudukan Jho Low yang kini dalam buruan dan akan di hadapkan ke mahkamah,” ujarnya.

Beliau juga mahu pasukan pendakwaan membawa Jho Low ke mahkamah bagi memastikan dakwaan itu ditentukan kebenarannya.

Ketua Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 SEPTEMBER 2019

Sebentar lagi, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram di jangka berhujah mengapa penyataan saksi itu dibenarkan oleh hakim dan meneruskan perbicaraan bersama Shahrol.

Perbicaraan berehat 15 minit sebelum bersambung. –MalaysiaGazette

1MDB: Jho Low tahu selok-belok rumah Najib, boleh ‘order Milo ais’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast