Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Selepas Pas, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan pula mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletakkan jawatan.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, desakan itu lanjutan dari tindakan subjudis Tommy yang menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim ketika inkues sedang berlangsung.

Menurut beliau, pihaknya bersependapat dengan ketua mereka, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang Tommy tidak lagi layak sebagai Peguam Negara kerana tidak menghormati prinsip perundangan.

Katanya, Peguam Negara juga turut bertindak tidak adil dan mengamalkan sikap pilih kasih apabila menggugurkan kes melibatkan banglo mewah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan isyarat lucah oleh peguam Siti Kasim.

“Ternyata Tommy gagal memberi teladan yang baik kepada masyarakat sepanjang memegang jawatan Peguam Negara. Ini tentunya menjejaskan keyakinan rakyat kepada perjalanan pentadbiran kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hariri, Pemuda UMNO Kelantan juga merafak sembah memohon perkenan Yang di- Pertuan Agong untuk menamatkan Tommy sebagai Peguam Negara selaras Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada agong untuk melantik dan menamatkan jawatan itu selama diperkenankan.

Ujarnya, kegagalan Tommy memberi nasihat yang tepat dan adil kepada agong dan Majlis Raja-Raja berkenaan impak peri bahayanya Statut Rome dan  Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kepada Perlembagaan Persekutuan, menguatkan lagi alasan untuk menamatkan perkhidmatannya itu. – MalaysiaGazette