Datuk Ahmad Maslan
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Isu lambakan rumah yang tidak terjual bukan alasan kepada kerajaan sekarang untuk membuka tawaran hartanah itu kepada warga asing.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebaliknya kerajaan perlu mencari jalan membantu rakyat dalam pemilikan kediaman sekaligus mampu mengatasi lambakan rumah di negara ini.

“Isu lambakan rumah tak terjual adalah cabaran besar kepada rejim PH, DAP dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk diselesaikan.

“Rakyat masih ramai tak punya rumah. Masih bayar sewa atau menumpang rumah keluarga.

“Masalah utama ialah harga rumah yang tinggi dan kuasa beli rakyat rendah. Jual kepada asing bukan jawapan!” katanya ketika menciap di akaun Twitter miliknya, hari ini.

Sebelum, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual adalah sebahagian daripada usaha untuk memulihkan ekonomi negara.

Menurut Zuraida, dengan langkah itu, kerajaan dapat mencairkan keadaan ekonomi negara dan membuka lebih peluang kepada pemaju untuk merancakkan projek pembangunan perumahan mampu milik di negara ini.

Katanya Zuraida, jika lambakan rumah tidak diatasi, ia akan menyebabkan 140 industri hiliran yang terbabit dengan pembangunan industri perumahan terjejas.

Awal bulan ini, kenyataan Zuraida disalahtafsirkan apabila mahu menjual unit-unit rumah yang tidak terjual ini kepada warga China dan Hong Kong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast