Ketua Polis Negara, Tan Sri AbdulHamid Bador bersama moderator, Tan Sri Johan Jaaffar pada Bicara Minda bertajuk 'Kitalah Malaysia' di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 SEPTEMBER 2019.

SHAH ALAM – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengulangi penegasannya bahawa pihaknya tahu di mana ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low berada dan berharap rundingan membawa balik orang yang dikehendaki itu ke Malaysia dapat diselesaikan akhir tahun ini.

“Saya nampak dia di mana, saya tahu dia di mana,” katanya semasa menjadi tetamu Bicara Minda di Dewan Karangkraf Shah Alam hari ini.

Menurut Abdul Hamid, Malaysia juga telah memberi pandangan yang tegas kepada pihak yang melindungi Jho Low.

“Dia bukan soal politik tiada kaitan dengan politik sama ada di negara ini atau di luar negara tapi soal jenayah terbesar di dunia,” katanya.

Sambil menyifatkan Jho Low sebagai seorang licik dan mempunyai agenda jahat, Abdul Hamid menegaskan buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan negara mana yang memberi perlindungan kepada ahli perniagaan dalam buruan itu.

“Dia sedang mendapat perlindungan daripada satu pihak untuk dia terus bersembunyi di sebuah negara.

“Maklumat yang saya terima dia bebas bergerak ke sana ke mari dan seolah-olah dia menjalankan perniagaannya tanpa apa-apa sekatan. Begitu juga dengan beberapa orang kuncu-kuncu dia tadi 4 – 5 orang,” katanya.

“Saya tak boleh menyebutkan negara tersebut sebab masih dalam rundingan dan negara itu ada perjanjian ektradisi dengan kita,” katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan bahawa usaha membawa Jho Low pulang ke Malaysai untuk diadili bukan kerana kepentingan politik tertentu, sebaliknya lebih kepada jenayah komersil malah terbesar di dunia.

“Soal Jho Low dan rakan-rakannya adalah soal jenayah. Jenayah sebagaimana orang tahu bahawa jenayah komersil, yang terbesar di dalam dunia.

“Kalau mengikut Amerika Syarikat. Ia tiada kaitan langsung dengan politik, baik di negara ini ataupun di negara yang dia mendapat perlindungan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette