KUALA LUMPUR – Wirawati Parti Putra Malaysia kecewa sikap berdiam diri Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan berhubung tindakan bank mengenakan caj tambahan RM2 untuk berurusan di kaunter dan 50 sen bagi transaksi di mesin deposit tunai (CDM).

Ketua penajanya, Dr. Asmah Razalli berkata, kedua-dua pihak terbabit langsung tidak mengambil sebarang langkah atau tindakan bagi mengawal keghairahan institusi kewangan mengenalkan pelbagai caj membebankan rakyat.

Jelas beliau, transaksi itu sudah pastinya menekan rakyat menggunakan perkhidmatan perbankan yang majoritinya adalah golongan sederhana dan berpendapatan rendah.

“Caj transaksi dikenakan ini seolah suatu paksaan yang terpaksa ditanggung oleh setiap pengguna bank yang hendak melakukan transaksi perbankan seharian.

“Bank pula mendapat keuntungan atas angin dengan setiap transaksi itu, sedangkan rakyat dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Dr. Asmah berharap Kementerian Kewangan meletakkan standard dan kawalan ke atas caj khidmat itu serta harus dipantau oleh BNM supaya tiada had caj yang melampau dinaikkan sesuka hati tanpa regulasi dan persetujuan rakyat.

Kerajaan tegas beliau, sepatutnya lebih prihatin mengenai setiap caj atau apa saja cukai yang hendak dikenakan serta seharusnya mendapat kelulusan serta mandat dari rakyat terlebih dahulu.

“Caj transaksi perbankan RM2 ini amat menyusahkan rakyat disaat pelbagai isu ekonomi lain yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti harga rumah di luar kemampuan majoriti rakyat serta pelbagai cukai yang membebankan.

“Wirawati Parti Putra memandang serius perkara ini kerana bebanan ekonomi ke atas rakyat tidak boleh diterima disaat keadaan ekonomi yang tidak stabil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast