Intan Rahmah

KUALA LUMPUR – Wiranita Parti Putra Malaysia tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk membeli dan memajukan tanah di Kampung Baru, di sini.

Ketua penajanya, Intan Rahmah Ali berkata, ini kerana hasrat itu merupakan satu keputusan yang melibatkan martabat bangsa Melayu.

Ujar beliau, Kampung Baru adalah tanah kawasan penempatan pertanian Melayu yang diwujudkan pada tahun 1900 di bawah Enakmen Tanah 1897. Ini bermakna lebih 100 tahun tanah itu menjadi milik orang Melayu.

“Parti Putra melihat keputusan untuk memajukan tanah Kampung Baru tidak benar-benar membela nasib penduduk di situ.

“Sesi Townhall baru-baru ini menjadi sesi tawaran harga untuk sekaki persegi tanah, sedangkan isu penting seperti proses pembangunan tidak dibincangkan secara menyeluruh dengan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Intan Rahmah, ini bukan isu penduduk akan memiliki rumah apabila pembangunan siap, tetapi yang pentingnya masa depan orang Melayu Kampung Baru itu sendiri.

Kata beliau, jika tanah itu dimajukan sebagai pangsapuri dan kondominium mewah, mampukah orang Melayu membeli serta memilikinya.

“Saya rasa ruang untuk berlakunya penyelewangan oleh pihak tertentu yang berkepentingan dengan mengambil kesempatan dari pembangunan semula Kampung Baru boleh berlaku.

“Hak milik bangsa Melayu boleh terlepas ke tangan pihak lain terutama kepada badan korporat gergasi milik bukan Melayu atau pelabur luar negara. Perkara seperti ini sudah kerap terjadi akibat dari ketamakan.

“Kita tidak menentang pembangunan, malah yakin gelombang pembangunan bangsa Melayu mestilah seiring dengan kemajuan dan teknologi dunia masa kini,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Intan Rahman, apa erti pembangunan jika bangsa Melayu digelodak gundah dan dimamah resah akibat tanah warisan nenek moyang menjadi milik orang lain.

Justeru, Wiranita mengesyorkan pembangunan infrastruktur di Kampung Baru dipertingkatkan seperti memperkukuhkan sistem pengangkutan awam dan laluan pejalan kaki.

Katanya, projek Taman Warisan Melayu yang akan dilaksanakan itu adakah benar-benar memberi manfaat kepada penduduk Kampung Baru itu sendiri?

“Kerajaan kononnya ingin mencipta sebuah perkampungan yang lebih moden, tetapi mencipta atau membaharui tidak sama. Kediaman dan keaslian Kampung Baru akan terjejas dan berubah.

“Dengan terciptanya perkampungan yang baharu, maka budaya di tempat tersebut juga tidak mustahil akan berubah. Jadi di mana keaslian sebuah kampung Melayu di tengah bandar Kuala Lumpur?

“Saya mencadangkan Kampung Baru dijadikan Kampung Warisan Melayu atau muzium hidup seperti Kampung Morten di Melaka yang merupakan satu-satunya kampung Melayu yang masih kekal di bandaraya Melaka,” ujar beliau. – MalaysiaGazette